SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) hari ini mendesak pihak polis dan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) mengambil tindakan segera dan menyiasat tindakan sebuah resort di Johor yang membenarkan penganut Buddha melakukan upacara keagamaan dalam surau.

Presidennya, Musa Awang menegaskan, perbuatan tersebut melampaui batas kerana tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Kami desak supaya pihak berkuasa segera mengambil tindakan dengan mendakwa pihak terlibat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian berkenaan yang dikesan melalui paparan video di Youtube yang menunjukkan lebih 10 orang sedang menyertai satu upacara yang diketuai seorang individu berpakaian jubah berwarna oren di sebuah resort dekat Kota Tinggi, Johor semalam.

Tambah beliau, tindakan jika tidak dibendung dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian kaum dan menggugat kestabilan negara.

"PPSM khuatir orang Islam akan bertindak luar batasan jika perkara ini tidak ditangani segera," tegasnya.

Menurutnya, orang Islam yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 7 atau Seksyen 32, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala jika membabitkan bukan Islam, pendakwaan boleh dibuat di bawah Akta Hasutan atau Seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjarakan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.