SENAI - Polis Johor menahan pengurus pusat peranginan di Sedili Besar, Kota Tinggi kerana menyalahgunakan surau untuk kegunaan penganut agama lain.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan orang  awam berhubung kejadian itu pada jam 3.25 petang, 10 Ogos lalu.

Menurutnya, pengurus pusat peranginan terbabit ditahan pada jam 2 petang semalam, bagi tujuan menyiasat kes yang telah  dilakukan.

“Polis terima laporan orang awam mengenai satu kejadian sebuah surau disalahgunakan penganut agama lain.

“Surau tersebut dimiliki sebuah pusat peranginan milik pengusaha tempatan. Susulan laporan yang diterima, polis  menubuhkan satu task force diketuai Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim,” katanya dalam satu kenyataan, di sini  semalam.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.


“Siasatan akan dijalankan secara mendalam dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan menyerahkan kepada  polis untuk meneruskan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.