KUALA LUMPUR - Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) membuat laporan polis terhadap Resort Kota Tinggi kerana membenarkan surau di resort itu digunakan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan.

Presidennya, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan meletak gambar dewa di sebelah ayat suci al-Quran juga telah menyinggung perasaan umat Islam.

“Ini adalah perbuatan yang tidak menghormati agama Islam. Resort itu hanya mahu mencari keuntungan semata-mata.
"Resort ini telah mencemarkan kesucian Islam sehingga menimbulkan sensitiviti agama di negara ini,” katanya.

Beliau turut menggesa Majlis Agama Islam Negeri Johor dan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap resort tersebut.

Amir Amsaa membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini jam 2.26 petang, kelmarin.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Persatuan Pemuda Puteri Malaya (Perimau) Johor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang sengaja memperlekeh kesucian Islam agar kes seumpamanya tidak berulang.

Presidennya, Mohd Ridhwan Othman berkata, tindakan tegas tidak hanya membabitkan pengusaha resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang membenarkan upacara keagamaan lain menggunakan surau, tetapi melibatkan semua kes yang mempersenda maruah Islam.

“Kita khuatir jika tidak ditangani dengan tegas, tidak mustahil akan berulang kembali. Perimau juga menggesa pihak berkuasa tidak hanya mengambil tindakan tegas kepada pengusaha tetapi kepada mana-mana individu yang terlibat.

“Sebagai generasi muda kita juga tidak mahu perkara seumpama ini menjadi permainan mana-mana pihak demi kepentingan peribadi dengan menjadikan Islam sebagai agenda memporak-perandakan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya selepas membuat laporan polis bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Johor, di Balai Polis Bandar Dato’ pada jam 10 pagi, semalam.

Nada sama dinyatakan Setiausaha GPMS Johor, Mohd Farihin Hassan yang menggesa tindakan diambil ke atas kesemua kes menghina Islam sejak akhir-akhir ini menyebabkan tiada lagi pihak berani untuk memperlekeh agama suci itu.

Katanya, kes-kes yang menyentuh sensitiviti agama itu sekiranya tidak dibendung dan ditangani dengan baik pada masa kini dikhuatiri boleh memberi kesan buruk kepada generasi akan datang.

“Kita harap tindakan tegas yang diambil kepada individu yang persendakan Islam dapat beri pengajaran kepada semua pihak ,” katanya.