Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
SHAH ALAM -  Kerajaan perlu bersikap lebih telus dalam soal rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan mendedahkan maklumat mengenainya kepada rakyat.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata, sikap kerajaan yang terus berahsia berhubung maklumat rundingan akan membawa risiko yang besar kepada kedaulatan dan ekonomi negara.

Katanya, maklumat penting mengenainya perlu didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklum balas dan rakyat berhak memberi pandangan kerana perjanjian ini secara langsung melibatkan kualiti hidup mereka.

“Tetapi kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menunjukkan sikap keras kerajaan yang terus berahsia maklumat mengenai TPP.

“Kalau maklumat TPP pun kita tidak tahu, bagaimana hendak  pastikan rundingan itu boleh diteruskan dengan risiko yang minimum,” katanya, semalam.

Oleh yang demikian, tegas Rafizi, dengan bersikap telus mendedahkan kandungan rundingan, barulah rakyat  boleh menyatakan pandangan dan membuat keputusan sama ada TPP memberikan keuntungan kepada negara atau sebaliknya.   

“Implikasi TPP ini besar, maka kerajaan ambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum meterai perjanjian ini,” katanya.