Mesir mahu siasat Mursi
Jutaan penyokong Mursi masih meneruskan demonstrasi bagi menuntut tentera membebaskan pemimpin itu.
KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir, Mohammed Mursi bakal berhadapan tuntutan siasatan jenayah selepas dituduh melakukan pengintipan, menghasut keganasan dan gagal menangani masalah ekonomi di negara itu.

Dipetik Press TV, tuduhan terbabit dibuat bagi membolehkan pendakwa raya membuka kertas siasatan bagi mendakwa Mursi.

Menurut Pejabat Pendakwa Raya, segala tuduhan itu dibuat selepas mendapat aduan daripada individu yang dirahsiakan.

"Selain Mursi, lapan lagi nama turut tersenarai termasuk Musyidul Am Ikhwanul  Muslimin Mohamed Badie," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri sementara, Hazem El-Beblawi mengumumkan barisan Kabinet selepas rampasan kuasa dua minggu lalu.

Hazem berkata, seramai 30 anggota dipilih bagi mengisi jawatan dalam pentadbiran baru Mesir.

Dalam perkembangan berkaitan, gerakan Ikhwanul Muslimin meneruskan demonstrasi aman bagi menuntut Mursi dibebaskan segera.

Pemimpin Kanan Ikhwanul Muslim Essam El-Erian berkata, seorang anggota mereka ditahan Isnin lalu selepas bertempur dengan anggota keselamatan hingga menyebabkan 90 terbunuh sehingga kelmarin.