KUALA LUMPUR - DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) telah melancarkan pelan perkhidmatan pasca bayar terbarunya, DG Postpaid  Simple, yang menawarkan Sony Xperia E percuma untuk para penggunanya yang mendapatkan perkhidmatan baharu itu bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Promosi, yang bermula bulan ini, disesuaikan untuk para pengguna yang mahukan telefon pintar aras permulaan yang mempunyai pakej suara dan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) berserta dengan perkhidmatan Internet mudah alih, kata DiGi dalam satu kenyataan.
"Digit mempunyai 5.8 juta pengguna Internet mudah alih, termasuk tiga juta pengguna telefon pintar setakat suku pertama tahun ini," kata ketua produk-pengguna dan perniagaan, Ting Shiew Han.
Berharga RM499, telefon percuma itu disertakan sekali dengan pelan DG Postpaid Simple yang baharu dilancarkan, yang mana pengguna hanya perlu membayar RM50 sebulan untuk menikmati masa berbual domestik dan SMS bernilai RM100.
“Dengan menyertai pelan pasca bayar dan memilih ciri-ciri tambahan, pengguna boleh memulakan Internet mudah alih dari harga serendah RM28 sebulan dengan telefon pintar percuma baharu mereka," katanya.

Pengguna akan turut menikmati 100 panggilan percuma, 3,800 SMS dan perkhidmatan pesanan multimedia secara kolektif apabila mereka berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan mereka. - Bernama