Air Asia
Air Asia
KUALA LUMPUR - AirAsia kini melaksanakan migrasi sistem menjelang perpindahannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia (MES) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu (KNO) di Medan, Indonesia pada 25 Julai.
   
Proses itu akan membabitkan penukaran kod lapangan terbang daripada MES ke KNO, yang mengambil masa lima jam 30 minit dari 10 malam hari ini ke 3.30 pagi esok waktu Indonesia Barat (GMT+7).
  
"Semasa migrasi sistem, pelanggan tidak dapat membeli tiket atau melakukan pemeriksaan masuk secara dalam talian bagi perjalanan dari atau ke Medan, dan membuat perubahan tempahan bagi kesemua destinasi menggunakan fungsi "Urus Tempahan Saya".
  
"Pelanggan dinasihatkan supaya melakukan semua perkara di atas sebelum 15 Julai atau selepas 16 Julai," kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.
  
Pelanggan dari atau ke Medan yang sudah pun membuat pemeriksaan masuk untuk tempoh penerbangan dari 25 Julai ke atas, diminta menyemak masuk semula dalam tempoh sejam sebelum masa berlepas.
  
Selepas proses ini selesai, pelanggan dari atau ke Medan mulai 25 Julai, akan menerima itinerari penerbangan yang dikemas kini dengan kod baharu (KNO) lapangan terbang, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu.  - Bernama