AS: TPP perjanjian paling telus
Negara peserta rundingan TPP
BEBERAPA hari lalu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan beliau berhubung perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 12 negara, iaitu Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) apabila ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir memberi jawapan berikut melalui kenyataan bertulis kepada Sinar Harian:

“Berhubung dengan China, pada 7 Julai 2013, China dan AS telah memuktamadkan Dialog Strategik dan Ekonomi Kelima antara kedua-dua negara di mana selepas dialog tersebut, China mengumumkan hasratnya merundingkan perjanjian pelaburan dua hala (Bilateral Investment Treaty - BIT) yang berkualiti tinggi dengan AS.

“Perjanjian pelaburan dua hala ini akan merangkumi semua peringkat pelaburan dan sektor, yang mana ianya merupakan pertama kali China telah bersetuju untuk berbuat demikian dengan negara lain”.

Berhubung kenyataan dalam blog Dr Mahathir bahawa Miti tetap akan bersetuju dengan TPP dan tidak akan menerima sebarang hujah menentang perjanjian itu, Miti memberitahu keputusan Malaysia untuk menyertai rundingan TPP adalah keputusan kerajaan, dan bukannya keputusan Miti.

Menurut Miti, perunding hanya akan bertindak berdasarkan panduan dan nasihat daripada Jemaah Menteri dan pada akhirnya, keputusan yang akan diambil oleh pasukan perunding bergantung kepada mandat daripada Jemaah Menteri.

Miti juga turut menjelaskan tidak ada kata putus mengenai tarikh sebenar rundingan akan dimuktamadkan.

Pusingan ke-18 rundingan ini bermula di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini sehingga 25 Julai depan dengan objektif untuk memuktamadkan rundingan menjelang akhir tahun ini seperti ditetapkan pemimpin negara-negara TPP.

Selain Jepun yang menyertai rundingan TPP buat pertama kali dalam pusingan terbaru ini, TPP dianggotai Malaysia, AS, Australia, Brunei, Chile, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.