TPP: Kerajaan didesak tarik diri
Protes yang dilakukan oleh Pemuda Pas di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
KOTA KINABALU – Pemuda Pas Sabah mendesak kerajaan menarik diri daripada tandatangani rundingan Perkongsian Trans Pasifik (TPP) kerana mendakwa ia memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, dari penelitian pihaknya, pelbagai pakar ekonomi serta NGO sudah mengeluarkan kenyataan bahawa TPP akan berakhir dengan kerugian yang akan ditanggung oleh usahawan tempatan dan membebankan kualiti hidup rakyat secara keseluruhannya.

Katanya, perjanjian ini juga dipandang serius kerana hingga ke hari ini ia masih boleh dikatakan ‘perjanjian misteri’ ekoran banyak maklumat dan penerangan mengenai TPP masih belum diperoleh oleh masyarakat awam.

“Malah, penyertaan Malaysia dalam rundingan TPP yang memasuki pusingan ke-18  bersama 11 negara itu juga tidak pernah dibincangkan sama sekali di Parlimen sedangkan perkara ini melibatkan kepentingan awam dan negara.

“Oleh kerana perjanjian ini mempunyai kaitan dengan persoalan kedaulatan ekonomi dan kesan kepada pelbagai industri negara, maka ia wajar diusulkan sebagai isu yang sangat serius,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas juga menuntut satu kajian khas dilakukan bagi mengetahui sama ada TPP memberi kesan kepada rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya melibatkan Isu tanah adat atau Native Consumer Rights (NCR).

Selain itu, Lahirul turut mempersoalkan kenapa Sabah dipilih menjadi lokasi perbincangan ke-18 TPP, dan adakah Kerajaan Negeri Sabah sudah sedia maklum tentang isi kandungan dan maklumat perundingan itu.

“Juga, jika Kerajaan Negeri Sabah sudah memiliki maklumat tentang TPP ini, adakah ia telah dibincangkan dalam Dun dan sejauh mana wakil-wakil Dun itu jelas dan faham berkenaan perjanjian ini?” katanya.