Malaysia bakal hab industri kecantikan
MALAYSIA dijangka berpotensi menjadi hab tumpuan pelaburan bagi industri kecantikan di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Ecmi Ite Asia Sdn Bhd, yang juga penganjur pameran Cosmobeute Asia 2013, Saw Chee Pheng berkata, pasaran industri kecantikan negara semakin meningkat setiap tahun, ia didorong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna dan ekonomi negara yang semakin baik.

"Industri kecantikan turut menyumbang perolehan yang baik kepada negara dengan menyumbang purata RM100,000 pendapatan tahunan setiap salon.

"Setakat ini, di Malaysia sahaja dianggarkan kira-kira 20,000 salon kecantikan sedia ada di seluruh negara," katanya selepas pelancaran pameran antarabangsa kosmetik, kecantikan dan spa yang dianjurkan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas berhubung pameran itu, Chee Pheng berkata, Cosmobeute Asia 2013 menarik lebih 300 peserta pameran daripada 10 negara antaranya Australia, Amerika Syarikat, Singapura, Korea, Hong Kong, Thailand, Perancis dan Jepun.

Menurutnya, tahun ini, syarikatnya menerima penyertaan daripada dua negara iaitu Turki dan Itali serta turut menyasarkan untuk menerima penyertaan daripada negara Eropah pada pameran akan datang.

"Pameran tahunan untuk kali ke sembilan itu juga mempamerkan 600 jenama kepada 20,000 pengunjung yang terdiri daripada pemilik salon kecantikan, spa dan kosmetik dalam dan luar negara.

"Ia juga menjadi platform kepada pemilik perniagaan dalam industri kecantikan untuk berkongsi idea dan meningkatkan persaingan dalam bidang itu," katanya.

Serentak pelancaran itu, 19 salon profesional turut menerima pengiktirafan di bawah Skim Persijilan Aesthetician dan Terapi Kecantikan (BTaA)