Bank Islam
BANK Islam Malaysia Berhad tetap meninjau peluang yang ada untuk mengembangkan perniagaannya sehingga peringkat rantau Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Zukri Samat berkata, pada ketika ini, bank itu masih belum mengenal pasti calon rakan kongsi yang bersesuaian di dalam usahanya untuk menembusi pasaran luar negara.

“Setakat ini, kita masih belum ada peluang, tetapi jika ada, kita sememangnya berminat untuk melebarkan perniagaan ke Indonesia,” katanya selepas menyerahkan zakat perniagaan Bank Islam bernilai RM320,000 kepada Majlis Agama Islam Johor, di Kota Iskandar, semalam.

Majlis itu disaksikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebelum ini, Bank Islam dikatakan sedang berunding dengan sebuah bank Islam di Indonesia bagi mengambil alih antara 30 hingga 40 peratus kepentingannya bagi membolehkannya meluaskan operasinya ke negara terbabit.

Sementara itu, Zukri berkata, Bank Islam akan mengembangkan operasinya di negara ini dengan membuka lima cawangan baru di seluruh negara sebelum berakhir tahun ini.

katanya, Ketika ini, terdapat 130 cawangan bank di seluruh negara termasuk terbaru membabitkan cawangan Sungai Buloh, Selangor, yang dibuka bermula semalam.

"Terdapat 15 cawangan Bank Islam di Johor ketika ini yang merupakan kedua terbesar selepas Lembah Klang yang mempunyai 32 cawangan, katanya.

Mengenai zakat terbabit, Zukri berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan wang zakat Bank Islam berjumlah RM9.2 juta bagi tahun kewangan 2012, berdasarkan keuntungan yang diraih oleh bank RM600 juta pada tahun lalu.

“Kalau tahun lalu, keuntungan sebelum cukai adalah RM600 juta, tahun ini kita menyasarkan peningkatan 10 hingga 15 peratus,” katanya. - Bernama