PROGRAM Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia telah diberi pujian oleh Norway.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide berkata, adalah amat penting bagi Malaysia untuk mempunyai fokus strategik seperti itu untuk mencapai sasaran negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah lokasi di mana perniagaan mudah dijalankan, beliau merujuk kepada Laporan Bank Dunia 2013, di mana ia disenaraikan di tempat ke 12 negara yang paling mesra perniagaan dunia, dan yang pertama dari segi kemudahan mendapat pembiayaan.

“Ini mengukuhkan lagi usaha Malaysia untuk capai status negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau juga berkata, kepelbagaian budaya dan bakat Malaysia telah dikenali ramai dan ini menjadikan sasaran itu lebih mudah dicapai.

“Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat setiap tahun. Apabila KDNK sesebuah negara meningkat setiap tahun, ia adalah sesuatu yang bagus kerana lebih ramai rakyat bergerak daripada golongan kelas bawahan ke kelas pertengahan dan seterusnya,” tambah beliau.

Malaysia catatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada 2012 dan anggaran pertumbuhan 5.0 hingga 6.0 peratus tahun ini.

KDNK Malaysia berkembang 4.1 peratus pada suku pertama tahun ini, disokong permintaan tempatan yang lebih kukuh, yang berkembang 8.2 peratus pada tempoh yang sama. - Bernama