PILIH KASIH : Rosyam: Lakonan Iqbal macam kayu dulu.... - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PILIH KASIH : Rosyam: Lakonan Iqbal macam kayu dulu....

Rosyam: Lakonan Iqbal macam kayu dulu....

BARISAN PELAKON YANG ROSYAM NOR CARI...(dari kiri) Wanina, Reza, Iqbal, Indera dan Nabila. -foto THE STAR oleh DARRAN TAN

LATAR belakangnya pelakon dan penyanyi sambilan. Dia juga pernah membuat persembahan teater di bawah pelakon hebat seperti Fauziah Nawi.

Kesemua resume itu bagaimanapun tidak dijadikan bekalan oleh Muhammad Iqbal Mazlan, 20, dalam meniti laluan program realiti 'Pilih Kasih' demi bergelar seorang pelakon.

Sifat merendah diri ditambah kesediaan Iqbal menimba ilmu ternyata berbaloi. Ahad lalu, Iqbal dinobatkan sebagai juara 'Pilih Kasih' musim pertama.

"Saya kena jadikan saya kosong-kosong. Saya kena jadi semut balik walaupun saya jadi seekor lipas untuk bersama dengan mereka.

"Dan saya datang untuk Pilih Kasih minggu pertama dengan keadaan zero-zero.. dan start dari zero, saya timba banyak pengalaman dan ilmu.

"Saya tidak sehebat mana pun...Saya bukanlah superstar. Saya masih seorang pelajar yang masih dahagakan ilmu," kata Iqbal pada sidang akhbar selepas Pentas Akhir 'Pilih Kasih' berakhir yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban Ahad lalu.

Dalam sidang akhbar itu, penerbit 'Pilih Kasih', Rosyam Nor menyifatkan lakonan Iqbal sebelum ini sebagai 'kayu'.

"Minta maaf dan terus terang saya katakan - lakonan dia yang pernah keluar adalah "kayu". Saya sendiri tak kenal dia. Saya tak nampak apa kelebihan pada dirinya.

Indera, Iqbal dan Reza bersama trofi dan cek replika masing-masing.

"Kelebihan yang dia bawa hari ini bukan dia seorang. Kelebihan dia hari ini adalah hasil Kak Erma, Rohani Tahir, Along, Amie Maziah dan sebagainya.

"Itulah ilmu yang mereka bagi kat dia, tapi dia pandai mengutip. Daripada kayu menjadi...juara Pilih Kasih hari ini," ujar Rosyam yang menyatakan terdapat banyak peningkatan pada mutu lakonan Iqbal sejak hari pertama hingga hari ini.

Pada peringkat akhir 'Pilih Kasih', Iqbal memegang watak utama dalam tayangan drama pendek bersiri "Mangsa Pemburu".

Lakonan Iqbal begitu menyerlah sehingga ramai meramal dia bakal bergelar juara 'Pilih Kasih' di peringkat awal lagi.

Rosyam turut mengakui Iqbal mendapat skor paling tinggi dalam drama tersebut.

Rosyam mengakui Iqbal mendapat skor paling tinggi dalam persembahan drama.

"Dia (Iqbal) berjaya pikat pengarah drama dan penulis skrip untuk menjadikannya pemegang watak utama filem tersebut.

"Kita dah pesan pada semua orang sama ada hero atau heroine, mereka kena tunjuk bakat mereka.

"Jadi, akhirnya dalam drama itu, Iqbal itu adalah hero. Yang lain dah tak boleh pergi dah sebab lakonan macam itu aje," jelas Rosyam.

Dari segi monolog, Rosyam berkata, persembahan Iqbal juga semakin baik dari hari ke hari.

".. dan hari ini pujian besar diberikan kepada Sofian dan Iqbal... Saya nampak dua juri itu banyak memberi markah kepada Iqbal.

"Malah dari segi miming, kami juga kesan miming itu dilakukan betul tak betul... Lepas itu, bila mereka miming, ada tak keluar dari jiwa mereka.. itu semua saya kesan," katanya.





'Pilih Kasih' bawa keunikan tersendiri

Sofian Bujang menunjukkan bakat tariannya. -foto THE STAR oleh DARRAN TAN

UNIK, menarik dan segar - begitulah kesimpulan mengenai program realiti 'Pilih Kasih' yang baru melabuhkan tirainya Ahad lalu.

Jika dulu kita sering disajikan dengan program realiti yang mencari penyanyi, kini sudah ada program pencarian pelakon berbakat.

Pelakon terkenal Rosyam Nor sedar akan kekosongan ini dan memperkenalkan program realiti yang masyhur dengan taglinenya "Adakah anda pelakon yang saya cari?"

Sepanjang berlangsung selama 10 minggu, 20 peserta 'Pilih Kasih' berentap sehingga disenaraipendekkan 10 finalis untuk bergelar seorang pelakon.

U. Haizah, Diwan dan Khafie mempamerkan mimik muka yang melucukan.

Kemuncaknya, Pentas Akhir 'Pilih Kasih' telah mengenal pasti lima pelakon berbakat yang dicari Rosyam Nor.

Mereka ialah Iqbal Mazlan dengan undian sebanyak 39.36 peratus, Reza Hasbi (36.27 peratus), Indera Hafiz (31.59 peratus), Nabila Dally (28.45 peratus) serta Wanina Zaki (26.67 peratus).

Selain itu, peserta-peserta lain mempamerkan bakat lakonan yang mantap.

Iqbal misalnya bagai dirasuk 'hantu' dan 'syaitan' sewaktu diburu manusia misteri.

"Ha, makan gula-gula getah dalam kelas ya!" soal seorang pengajar dalam teater muzikal.

Walaupun masih mentah dalam industri lakonan, Iqbal berjaya menjiwai watak utama dengan begitu baik sehingga gamat Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Ahad lalu.

Auditorium tersebut adalah tempat berlangsungnya Pentas Akhir Pilih Kasih.

Aksi anggota pasukan keselamatan meluru keluar dari belakang tabir pentas mengejar seorang penjenayah bertopeng hingga ke tempat duduk para hadirin berjaya mencuri perhatian orang ramai.

Lebih menarik, lelaki misteri yang ditanggalkan topengnya itu rupa-rupanya adalah penerbit program Pilih Kasih itu sendiri - Rosyam Nor!

Siulan para peminat, jeritan sokongan dan lambaian tangan mereka menunjukkan pengiktirafan terhadap kehebatan program realiti ini.

Persembahan monolog oleh para peserta pementasan teater muzikal juga tidak menghampakan.

Setiap peserta menonjolkan kreativiti masing-masing. Ada peserta yang berjaya mengawal skrip sementara ada yang "dikawal" skrip.

Di sinilah terletaknya ujian getir bagi finalis tersebut.

ALA KUNG FU... Reza mengadunkan seni mempertahankan diri dalam persembahan lakonan.

Bagi persembahan teater muzikal, koreografi tarian yang tersusun dan kelunakan nyanyian serta tarian istimewa para peserta membuka mata para hadirin.

Penyampaian watikah tenaga pengajar dalam teater muzikal tersebut pula diserikan oleh tenaga pengajar seperti Amie Maziah, Along Kamaluddin dan Erma Fatima.

Kesimpulannya, Pilih Kasih berjaya mencatatkan satu penanda aras yang tinggi walaupun pertama kali diadakan.

0 Komentar untuk "PILIH KASIH : Rosyam: Lakonan Iqbal macam kayu dulu...."

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI