Watak utama hikayat Liwat I & II Anwar selama 16 tahun - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Watak utama hikayat Liwat I & II Anwar selama 16 tahun

Selama 16 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik turun mahkamah atas dakwaan liwat. Hari ini, beliau kembali ke Mahkamah Persekutuan dalam rayuan terakhirnya melawan usaha menamatkan karier politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2014.

Babak terakhir dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup tirai hari ini dan esok di Mahkamah Persekutuan, di mana beliau cuba mengenepikan sabitan bersalah atas tududan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Ini merupakan perbicaraan liwat kedua ketua pembangkang, yang pada umur 67, boleh melihat karier politiknya tamat jika mahkamah mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman lima tahun penjara.

Selama 16 tahun beliau keluar dan masuk mahkamah kerana tuduhan meliwat, menyebabkan politik Malaysia tergendala dan menjadi perhatian masyarakat antarabangsa dalam isu kehakiman dan eksekutif.

Salah satu legasi yang mungkin tidak disangka musuh politik Anwar adalah kebangkitan pembangkang di Malaysia, gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang menafikan majoriti tradisi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat semenjak 2008.
The Malaysian Insider mengimbas kembali watak utama dalam hikayat ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana menteri paling lama berkhidmat yang memilih Anwar sebagai anak didik dan bakal pengganti sebelum memecatnya pada 2 September, 1998.

Sebelum pemecatan berlaku, hubungan mereka keruh disebabkan cara pengurusan ekonomi negara akibat krisis kewangan Asia dan bagaimana menguruskan Umno, parti tunjang BN.

Dr Mahathir berulang kali menggunakan liwat sebagai alasan memecat Anwar.

Beliau juga menuduh Anwar mahu menjual Malaysia kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana bersetuju dengan reformasi kewangan mereka semasa krisis kewangan Asia.

Dr Mahathir meletak jawatan pada 2003, beberapa tahun selepas pilihan raya 1999 - menyaksikan BN kehilangan Terengganu dan undi bandar kerana pemecatan Anwar - dan memberi laluan kepada Tun Abdullah Badawi, seorang dilihat berbeza berbanding cengkaman Dr Mahathir yang tidak bersesuaian dengan pengundi muda.

Walaupun sudah bersara, Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno, dan mengetuai kempen menjatuhkan penggantinya sebelum pilihan raya 2008 yang menyebabkan Abdullah meletak jawatan pada 2009.

Dr Mahathir, 89, yang juga merupakan penaung Perkasa, kini menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mendengar nasihat beliau tentang bagaimana untuk mentadbir Malaysia.

Tan Sri Abdul Rahim Noor

Tan Sri Abdul Rahim Noor merupakan Ketua Polis Negara semasa Anwar dipecat dan mengetuai pasukan polis menentang demonstrasi "reformasi".

Anwar ditangkap pada 20 September, 1998, beberapa jam selepas beliau mengetuai perhimpunan puluhan ribu rakyat di Kuala Lumpur menggesa pembaharuan dilakukan di bawah pemerintahan Dr Mahathir.

Rahim menjadi terkenal kerana memukul Anwar semasa dalam tahanan polis, dan mata lebam Anwar jelas kelihatan ketika hadir di mahkamah pada 29 September, 1998, bagi menghadapi tuduhan rasuah dan liwat.

Anwar mendakwa pukulan Rahim menyebabkan belakang badannya cedera parah.

Protes reformasi menjadi lebih kerap dan agresif selepas Anwar muncul dengan kecederaan itu. Selama sebulan, pusat bandar Kuala Lumpur berubah menjadi seakan medan pertempuran apabila unit polis Light Strike Force mengejar penunjuk perasaan di jalanan sekitar Dataran Merdeka, kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman-Masjid Jamek dan Kampung Baru .

Rahim kemudiannya meletak jawatan sebagai ketua polis negara dan dibicarakan di mahkamah pada tahun 2000 kerana menyerang Anwar. Dia didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000.

Beliau secara terbuka meminta maaf atas kejadian tersebut. Rahim kini merupakan ahli kumpulan hak Melayu Perkasa.

Penghakiman

Tan Sri Arifin Jaka (gambar, kanan) mempengerusikan perbicaraan kes liwat Anwar yang pertama pada 1999 dan menjatuhkan hukuman penjara 9 tahun ke atasnya.

Merupakan seorang peguam sebelum dilantik menjadi hakim, beliau bersara sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan meninggal dunia pada 2011 pada usia 78 tahun.

Di Mahkamah Rayuan, hakim yang mengekalkan sabitan itu ialah Datuk PS Gill, Tan Sri Richard Malanjum dan Datuk Hashim Yusoff.

Ketiga-tiganya kemudiannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan. Gill dan Hashim kini bersara tetapi Malanjum masih bertugas sebagai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak.

Anwar dibebaskan melalui keputusan 2-1 hakim di Mahkamah Persekutuan. Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Tengku Baharuddin Tengku Mahmud berada di pihak majoriti dan membenarkan rayuan Anwar, manakala yang menentang ialah Datuk Rahmah Husin.

Tengku Baharuddin (yang dilantik ke Mahkamah Persekutuan untuk mendengari kes Anwar) bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan, manakala Hamid, kini bergelar Tun, dilantik Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2007 dan bersara pada tahun berikutnya. Rahmah bersara pada 2004. – 28 Oktober, 2014.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/watak-utama-hikayat-liwat-i-ii-anwar-selama-16-tahun#sthash.0LWb1plv.dpuf
0 Komentar untuk "Watak utama hikayat Liwat I & II Anwar selama 16 tahun"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI