Anwar menyesal tak cukup berusaha tawan Putrajaya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Anwar menyesal tak cukup berusaha tawan Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya beliau dihukum penjara, penyesalan terbesarnya adalah tidak berusaha lebih menawan Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Oktober, 2014.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui antara penyesalan terbesarnya jika dikenakan hukuman penjara adalah tidak berusaha kuat menawan Putrajaya.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini yang turut dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Anwar berkata dirinya menyesal tidak cukup usaha menentang pemerintahan kuku besi.

"Saya sepatutnya berusaha lebih kuat lagi. Saya sepatutnya lebih agresif melawan kerajaan," katanya.

Rayuan Anwar akan didengar esok dan Rabu di Mahkamah Persekutuan berhubung hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, walaupun berharap keputusan akan berpihak kepada dirinya tetapi beliau sudah bersedia dari segi mental menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita pernah melaluinya sebelum ini. Seperti deja vu," katanya merujuk kepada kes liwat pertama pada 1998.

"Saya juga dah berpesan kepada keluarga (Datuk Seri Dr Wan) Azizah dan cucu. Kami cuba menjelaskan situasi ini kepada anak sulung (Nurul) Izzah yang kini darjah satu, jelaskan kenapa 'papatok' mungkin tiada minggu depan.

"Maknanya ini bukan mudah. Saya terpaksa kuat dan bersedia dari segi mental. Dan apa yang boleh saya katakan adalah saya sudah bersedia," katanya.

Beliau bersyukur dengan sokongan yang diperolehnya daripada rakyat serta pihak antarabangsa termasuk Human Rights Watch dan Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia Yusuf Qardhawi.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Lim Kit Siang, dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hadir pada sidang media sebagai tanda solidariti terhadap rayuan Anwar esok.

Namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan tidak hadir ke mesyuarat PR hampir setahun, juga tidak kelihatan pada hari ini.

Anwar berkata, beliau akan hadir berucap di Universiti Malaya (UM) malam ini walaupun pentadbiran kampus melarang penganjuran program itu.

Menyifatkan larangan itu sebagai menyedihkan, Anwar membidas pentadbiran UM dan mengingatkan mereka supaya tidak menjadi alat Umno.

"Isu ini diperbesarkan dan menjadi perhatian negara. Anda sebagai ahli akademik dan profesor serta dekan bercakap seperti ketua Umno bahagian, tiada hormat terhadap kebebasan akademik dan ini untuk program pelajar.

"Mereka serang saya dah 16 tahun tetapi tak bolehkah benarkan saya bercakap hanya untuk setengah jam," katanya.

Program "40 Tahun: Dari UM ke Penjara" dianjurkan Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) walaupun Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof Datuk Dr Rohana Yusof memberi amaran program itu diharamkan.

Pentadbiran universiti juga memberi amaran kepada Presiden PMUM Fahmi Zainol, pelajar tahun akhir pentadbiran sosial dan kehakiman akan digantung pengajiannyaa serta denda jika terus berdegil.

Rohana dilaporkan berkata, UM tidak pernah membenarkan atau menyokong program sedemikian kerana melanggar peraturan kampus dan mampu mencalarkan imej universiti.

Bagaimanapun, amaran itu tidak diendahkan mahasiswa yang bertegas mahu hadir ke program itu malam ini seperti yang dirancang.

Fahmi juga mencabar pentadbiran universiti supaya membuangnya daripada pengajian dan mempertahankan program itu demi mencari kebebasan akademik. – 27 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anwar-menyesal-tak-cukup-berusaha-tawan-putrajaya#sthash.9KHZ1smD.dpuf
0 Komentar untuk "Anwar menyesal tak cukup berusaha tawan Putrajaya"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI