Khairy perjuang agama apa? soal Perkasa - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Khairy perjuang agama apa? soal Perkasa

Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi (dua dari kanan) berkata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin lebih berminat mempertahankan agama lain dari Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2014.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) semalam menyelar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mempersoalkan agama yang diperjuangkannya kerana tidak bersetuju pendirian Jabatan Peguam Negara tidak mendakwa Datuk Ibrahim Ali.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, Khairy sewajarnya tampil mempertahankan kepentingan umat Islam kerana dakwanya semakin banyak kes cubaan memurtadkan anak muda Islam hari ini.

"Mungkin ramai pihak tak kenal siapa Khairy ini. Kalau sesiapa tak kenal lagi, Wira Perkasa boleh kenalkan,” kata Irwan dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider malam tadi.

"Sejak beberapa kes membaling kepala dan daging babi di beberapa masjid dan surau, tidak terlihat kelibat Khairy di masjid dan surau itu semua.
"Tetapi bila sebuah gereja dibakar dulu, Khairylah antara orang terawal sampai. Agama mana yang Ketua Pemuda Umno ni perjuangkan sebenarnya?"

Irwan berkata amat aneh apabila ketua Pemuda Umno itu mempertikaikan penegasan Jabatan Peguam Negara dalam isu presiden Perkasa berkaitan membakar Bible bahasa Melayu.

Katanya, Khairy perlu membuktikan kenyataannya semalam adalah pendirian Pemuda Umno dan bukan pandangan peribadinya semata-mata.

"Inikah sikap seorang ketua Pemuda Umno pusat? Jika beliau berkata itu pandangan peribadi beliau, Wira Perkasa cabar beliau buat mesyuarat tergempar Exco Pemuda Umno dan keluarkan satu ketetapan Pemuda bahawa mereka mahu Presiden Perkasa didakwa atas Akta Hasutan. Kami cabar mereka buat atas nama Pemuda Umno Malaysia.

"Apa yang kami boleh harapkan dengan Ketua Pemuda Umno sekarang? Pihak yang mengedar Bible dalam bahasa Melayu kepada anak-anak Islam tidak pula diselar oleh beliau tetapi presiden Perkasa yang jelas tidak mahu mana-mana pihak cuba mengelirukan anak-anak orang Islam itu pula mahu dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Semalam, Khairy berkata tidak bersetuju dengan Jabatan Peguam Negara yang tidak mengklasifikasikan kenyataan Ibrahim menggesa Bible berbahasa Melayu dibakar sebagai menghasut.

Katanya, jelas apa yang diperkatakan Ibrahim adalah menghasut kerana mahu membakar kitab suci agama lain.

"Saya dah buat pendirian berkenaan kes ini. Bagi saya ia berbaur hasutan. Saya tak setuju.

"Terpulang kepada Peguam Negara. Pandangan peribadi saya kalau buat kenyataan nak bakar kitab orang lain, itu adalah hasutan.

"Peguam Negara ada kebebasan untuk buat keputusan dari segi pendakwaan. Tetapi kalau ditanya saya adakah kenyataan itu menghasut? Sudah tentu," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat Umno.

Irwan berkata Wira Perkasa sudah lama memerhatikan Khairy dan tiada lain yang diperjuangannya selain mahu menjadi popular di kalangan bukan Islam walaupun ada pihak mahu memesongkan akidah pelajar Islam.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut melantik Khairy menjadi Peguam Negara bertaraf menteri atau menteri kehakiman agar Islam dan negara selamat selain puak liberal terus maju ke depan.

"Lebih rela Islam musnah agaknya. Tak faham Islam ada juga Khairy ni, sebab tak belajar agama.

"Khairy jangan lupa yang beliau adalah ketua Pemuda Umno, jadi jangan buat kenyataan bodoh nanti orang Melayu benci kepada Umno. Kecuali sememangnya itu yang Khairy mahukan?" soalnya. – 28 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairy-perjuang-agama-apa-soal-perkasa#sthash.ax5KtBBI.dpuf
0 Komentar untuk "Khairy perjuang agama apa? soal Perkasa"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI