KUALA LUMPUR - Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, mereka tidak ambil kisah pergolakan yang berlaku di Ukraine sekurang-kurangnya sehingga 17 Julai apabila pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh di negara itu.

Dalam ketika kumpulan pemisah dan Kerajaan Kiev saling menuding jari, seluruh dunia hanya dapat memerhati pencuri bermaharajela di kawasan pesawat terhempas dan mayat mangsa dibiarkan mereput.
  
Situasi di Ukraine menjadi semakin parah dengan perletakan jawatan Perdana Menterinya Arseniy Yatsenyuk setelah dua parti utama dalam kerajaan sekarang, Ukranian Democratic Alliance for Reform (UDAR)dan Svoboda keluar dari pakatan kerajaan.
  
Konflik dalaman Ukraine telah meragut nyawa dan maruah kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia itu.
  
Mangsa yang terkorban adalah daripada pelbagai negara dan lebih separuh atau 193 orang berbangsa Belanda.
  
Pada tiga hari pertama setelah pesawat itu terhempas, pasukan penyiasat yang dihantar ke kawasan nahas yang dikuasai pemberontak, tidak dapat masuk ke kawasan itu sehingga Malaysia mencapai persetujuan dengan Alexander Yurevich Borodai, ketua pemberontak yang juga mengaku perdana menteri (lantikan sendiri) Republik Rakyat Donetsk.
  
Episod yang berlaku menunjukkan berapa rumitnya keadaan di Ukraine.
  
Kebanyakan rakyat Malaysia, mungkin juga orang lain hanya tahu bahagian timur Ukraine bersempadan dengan Rusia adalah zon perang.
  
Kawasan ini yang penduduknya dari keturunan etnik Rusia dan disokong Rusia menubuhkan negeri Donestk. Awal tahun ini, Ukraine hilang penguasaannya ke atas Crimea yang diambil Rusia.
  
Bagaimanapun, perang ini bukan sebarang perang bagi pemberontak pro-Rusia.
  
Permainan kuasa
  
Menurut Dr Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for a Just World (Just), berdasarkan apa yang dipaparkan di media dan kenyataan sesetengah ahli politik, nampaknya banyak kejahilan tentang apa yang sedang berlaku di Ukraine.
  
Katanya, rakyat Malaysia perlu memahami bentuk konflik di Ukraine kerana ia adalah konflik yang berkait dengan permainan kuasa melibatkan pihak dalam dan luar.

"Ianya ada kaitan dengan keadaan di Eropah dan Donestk, dan ini sejak runtuhnya Soviet Union pada tahun 1991 serta permainan kuasa. Inilah yang sedang berlaku di Ukraine", katanya.
  
Akibat penyingkiran Presiden Viktor Yanukovych yang dipilih secara demokratik, kerajaan semasa yang dipimpin Petro Poroshenko adalah pro-Amerika Syarikat dan pro-Barat sementara pemberontak yang menentang mereka disokong Rusia.
  
"Pertarungan merebut Ukraine sebenarnya kritikal kerana kedudukan Ukraine yang bersebelahan dengan Rusia. Dari segi sejarah, Ukraine adalah sebahagian daripada Rusia.
  
"Kiev, ibu negara Ukraine pada satu ketika adalah ibu negara Rusia. Jadi, hubungan antara Ukraine dan Rusia begitu mendalam", jelas Chandra.
  
Di satu pihak lain, Amerika Syarikat yang menyokong kerajaan semasa Ukraine mahu Ukraine menjadi sebahagian daripada Kesatuan Eropah.
  
Pada pandangan Chandra, Rusia bimbang perkara ini akan mencetuskan keadaan yang menyaksikan Amerika mencabar terus Rusia.
  
"Jadi konflik ini serius. Ianya berkait dengan isu etnik, bahagian Ukraine yang bertutur bahasa Rusia yang terletak di timur. Dalam kerajaan baru di Kiev, mereka bertutur bahasa Ukraine, tak ramai yang bertutur bahasa Rusia.
  
"Jadi Ukraine itu sendiri terbahagi kepada timur dan barat", kata Chandra.
  
Gesa untuk data radar tentera
  
Bagi Chandra, sekiranya tidak ada konflik, tragedi MH17 tidak akan berlaku.
  
"Seperti yang kita boleh lihat sekarang, masing-masing menuding jari. Satu pihak kata pihak yang lagi satu bertanggungjawab dan pihak yang satu lagi kata pihak itu yang melakukannya. Tak berkesudahan dan belum ada yang dapat menunjukkan bukti kukuh.
  
"Kerajaan di Kiev belum dapat mengemukakan sebarang bukti kukuh. Mereka hanya buat dakwaan dan tunjuk video apa yang disebut sebagai rakaman perbualan dan itu sahaja yang kita tahu", katanya.
  
Oleh yang demikian, menerusi Just, Chandra berpandangan Ukraine, Rusia dan Amerika Syarikat perlu mendedahkan data radar tentera yang meliputi kawasan nahas pada hari pesawat MH17 terhempas.
  
Tambahnya, maklumat itu akan memberi tanda-tanda penting atau mungkin perkara sebenar apa yang berlaku pada hari itu ke atas MH17.
  
"Akhirnya, semuanya berbalik kepada siapa yang mempunyai sebab untuk melakukan satu-satu perkara dan siapa yang mendapat manfaat daripada apa yang berlaku?   

"Perkara ini penting dan kita perlu menganalisis data itu", katanya. - Bernama