Menteri besar di bawah Perlembagaan Selangor (bahagian 2) - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Menteri besar di bawah Perlembagaan Selangor (bahagian 2)

Dalam segmen pertama wacana ini dijelaskan dalam melaksanakan tugas melantik kerajaan Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Yang di-Pertua Negeri umumnya perlu mengambil isyarat daripada parti majoriti dalam mengenal pasti siapa yang perlu dilantik sebagai ketua kerajaan.

Inilah hakikat demokrasi yang perlu difahami meskipun perlembagaan kita menyebut kuasa budi bicara di pihak istana dalam proses berkenaan. Bagaimanapun di akhir segmen itu dibangkitkan fenomena di mana istana memainkan peranan proaktif dalam pelantikan kerajaan di beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Fenomena ini seakan-akan menyanggah prinsip umum istana perlu mengikut isyarat yang diberi oleh parti majoriti dalam Dewan. Memang, jika dilihat apa yang berlaku di Perak, Selangor, Perlis dan Terengganu ketika itu semacam berlaku keadaan di mana istana dengan tiba-tiba menunjukkan kuasa mereka. Apa pun yang berlaku sebenarnya fenomena 2008 itu menunjukkan kuasa budi bicara yang tidak wujud atau mati itu boleh berubah jika senario politik berubah.



Dengan kata lain kuasa itu bukan kuasa baru. Atau istana melakukan sesuatu yang di luar batasan. Hakikatnya ialah istana hanya memainkan peranan proaktif perlu dimainkan dalam senario berbeza.
PRU 2008 sinonim dengan apa yang kini dikenali sebagai tsunami politik. Dalam insiden ini Umno-Barisan Nasional (BN) hampir kalah. Di peringkat pusat mereka kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali dalam sejarah politik negara.

Cengkaman politik kepemimpinan Umno dengan tiba-tiba menjadi lemah. Pimpinan pusat Umno yang sebelum itu dominan kelihatan longlai dan ini menyebabkan arahan mereka tidak berkesan. Fenomena ini menyebabkan pimpinan Umno di peringkat negeri bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Senario inilah menyebabkan surat kuasa yang diberikan Umno pusat kepada Datuk Seri Shahidan Kasim tidak laku di Perlis.

Dalam insiden berkenaan Raja Perlis bertanya sendiri kepada Adun Umno dan mereka menyatakan mereka tidak menyokong Shahidan. Senario yang sama berlaku di Terengganu meskipun di sini ada elemen lain kelihatan; iaitu calon yang ditunjuk Umno pusat dikatakan autokratik dan tidak bersih. Senario di Terengganu agak berbeza dengan Perlis kerana istana dikatakan enggan melantik calon Umno pusat. Sementara itu senario di Perak dan Selangor berbeza kerana Umno kalah dan Pakatan Rakyat belum lagi wujud.

Ini menyebabkan istana terpaksa menyiasat sendiri siapa yang mempunyai majoriti di dalam dewan. Kekalutan itu semakin jelas apabila Umno cuba memujuk PAS - yang kelihatan bersama dengan DAP dan PKR - untuk bersama membentuk kerajaan. Penulis sendiri ada membuat kenyataan kepada media meskipun Umno bukan parti majoriti di dalam DUN Perak ia boleh dilantik menjadi kerajaan kerana ia adalah kelompok parti terbesar dalam dewan.

Kenyataan media itu kelihatannya menyebabkan DAP sanggup bersama dengan PAS dan PKR dan menerima seorang ADUN PAS - meskipun parti itu mempunyai kerusi paling sedikit -  dilantik menjadi menteri besar. Pakatan Rakyat dibentuk selepas kerajaan negeri dilantik.

Senario 2008 itu tidak mudah untuk muncul lagi kerana Pakatan Rakyat sudah wujud dan diterima rakyat. Dengan kata lain Malaysia sudah ada sistem dua parti yang jelas dan agak mantap; sesuatu yang jelas menyebabkan Umno-BN gelisah. Tidak seperti dulu sekarang sudah ada pilihan yang jelas buat rakyat.

Pakatan memang tidak berdaftar. Tetapi ini tidak sukar difahami kerana meskipun ia di bawah kuasa Pendaftar Pertubuhan umum tahu di Malaysia perkhidmatan awam kita tidak neutral dan sentiasa berada di dalam cengkaman Umno-BN. Apa yang boleh dilakukan di sisi undang-undang belum tentu boleh dilakukan sekiranya kepemimpinan Umno tidak memberi lampu hijau, khususnya dalam isu melibatkan hidup mati parti itu.

Apa pun penyingkiran Datuk Seri Ahmad Said di Terengganu pada 2014 seakan-akan dipermudah oleh apa yang berlaku pada 2008. Perlu diingatkan kengganan Ahmad menerima keputusan Umno pusat menyebabkan beliau meninggalkan parti bersama beberapa penyokongnya.

Tindakan itu menyebabkan Umno kehilangan majoriti dalam DUN Terengganu. Di sisi perlembagaan Umno mesti meletakkan jawatan. Dan bila itu berlaku sepatutnya istana melantik kerajaan baru yang terdiri daripada PAS dan PKR yang jelas membentuk majoriti. Bagaimanapun itu tidak berlaku kerana istana memilih untuk membiarkan kerajaan haram Umno tadi terus kekal.

Kita tidak tahu apa sebabnya. Mungkin ia kesan sikap istana yang terlalu proaktif pada 2008; mahukan Ahmad meskipun ketika itu tidak jelas majoriti Adun Umno bersama beliau. Insiden Terengganu ini sebenarnya satu peringatan kepada istana supaya tidak mengambil sikap keterlaluan dalam soal pelantikan kerajaan kerana ia mempunyai kesan jangka panjang yang implikasinya buruk untuk sistem politik kita secara keseluruhan.

Peranan istana adalah umpama pengadil dan apabila ia mengambil sikap berdiam diri termasuk membenarkan 'gol yang jelas offside' seperti di Terengganu itu kesannya cukup mendalam. Umno sepatutnya malu dan tidak membuat bising kerana apa yang berlaku di Selangor tidak seburuk di Terengganu: istana sepatutnya melayangkan kad merah kepada Umno. Apa pun apa yang berlaku di Selangor setakat ini masih di dalam kerangka perlembagaan.

Kemelut di Selangor sudah mencapai tahap di mana ada kemungkinan undi tidak percaya dikemukakan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang kelihatan degil untuk tidak berganjak. Dalam pada itu ada cakap-cakap mengenai pembubaran DUN Selangor. Apa kaitan isu ini dengan pelantikan kerajaan? Kuasa melantik kerajaan ada hubungan dengan kuasa membubar dewan. Dua kuasa ini ada hubungan kerana dalam keadaan tertentu pelantikan sukar dibuat; sesuatu yang menyebabkan perlunya pemilihan kerajaan diserahkan kepada rakyat supaya mereka dapat membuat keputusan melalui pilihan raya.

Dengan kata lain istana mungkin menemui jalan buntu dan dalam keadaan sedemikian langkah yang lebih baik ialah menyerahkan pembentukan kerajaan kepada rakyat melalui pilihan raya. Dan ini hanya boleh berlaku apabila dewan dibubarkan.

Kuasa membubar dewan, sebagaimana pelantikan kerajaan, berada di tangan istana. Perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri hanya boleh memohon pembubaran. Terpulang kepada istana untuk memperkenan atau sebaliknya.

Sisi ini akan dikupas dalam segmen yang berikut. – 25 Julai, 2014.

*Dr Abdul Aziz Bari adalah bekas profesor undang-undang UIAM yang kini mengajar di Fakulti Sains Sosial, Unisel

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/menteri-besar-di-bawah-perlembagaan-selangor-bahagian-2#sthash.8mGAt3NO.dpuf
0 Komentar untuk "Menteri besar di bawah Perlembagaan Selangor (bahagian 2)"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI