KEPUTUSAN penyanyi terkenal ini mengenakan tudung setiap kali menjelang Ramadan mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan peminat kesayangannya.

Nasihat ibunya yang menyuruh mengenakan tudung sebagai tanda menghormati bulan penuh berkat disambut oleh pelantun lagu Anggapanmu ini.

Siapa sangka, kerana Ramadan, akhirnya, empunya nama Siti Roziana Zin, 46, mengambil keputusan untuk terus mengenakan tudung bermula Ramadan tahun ini.

Akuinya, dia lega kerana masa yang dinanti-nantikan selama ini akhirnya tiba juga.

"Hampir lima tahun saya memendam hasrat untuk bertudung. Saya sendiri tidak menyangka impian saya menjadi kenyataan.

"Apa yang boleh saya katakan, semua ini berlaku secara rela dan tiada paksaan daripada sesiapa.

"Lagipun ini perkara wajib, sebagai wanita Islam, ia memang dituntut agama, jadi inilah sebaiknya yang saya perlu lakukan," katanya ketika ditemui di majlis Syawal Safi Rania Diamond bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

Bagi isteri kepada Armin Zahari ini, keputusan diambil sesungguhnya memberi sinar baru kepada hidupnya.
"Alhamdulillah, saya berasa sangat tenang selepas bertudung, perasaan yang lahir daripada dalam diri membuktikan betapa saya tepat selama ini," katanya lebih
selesa mengenakan tudung kini.

Tambahnya, walaupun baru sebulan berhijrah, dia dapat rasakan pendirian dan penampilannya lebih dihormati.Menurut penyanyi kelahiran Melaka ini, ketika memberitahu suaminya mengenai hasratnya itu, ia disambut dengan senyuman dan perasaan gembira.

"Semasa berkahwin, dia pernah nasihat saya untuk memakai tudung, sebagai suami semua yang saya lakukan jika bertentangan dengan agama akan diletakkan di bahunya.

"Tetapi dia tidak memaksa saya, sebaliknya berharap dan berdoa agar keputusan ini lahir secara rela dan ikhlas dari hati saya," katanya.

Selain itu, seorang lagi yang paling gembira adalah anak sulungnya, Adam.

"Adam selalu mengingatkan dan menyuarakan pendapatnya yang ingin melihat saya bertudung. Walaupun tidak berkata apa-apa, tetapi daripada senyumannya, saya tahu dia sangat seronok dengan perubahan saya," tutur pelakon Sembilu ini.

Bagaimanapun, kata Ziana, dia masih Ziana Zain yang dulu walaupun telah bertudung.

"Saya masih seperti dahulu, perangai saya masih gila-gila, cuma saya akan lebih berhati-hati ketika berpakaian.

"Penampilan dan personaliti saya haruslah selaras dengan wanita bertudung dan mengikut apa yang dibenarkan Islam.

"Perubahan ini atas keinginan saya sendiri, jadi saya tidak mahu masyarakat, peminat dan keluarga menghukum saya andai tersalah langkah," ujarnya penuh makna.


Kerjaya berterusan

Berbicara lanjut mengenai kariernya yang sudah bertapak selama 22 tahun dalam industri seni tempatan, Ziana dengan tegas memberitahu, bertudung tidak bererti kerjayanya akan berkubur.

Katanya, ia tidak sesekali menjadi batasan terhadap komitmennya dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun sebagai model dan duta.

"Jangan jadikan bertudung sebagai batasan untuk kita melakukan sesuatu. Ramai lagi wanita bertudung di luar sana yang berjaya.

"Malah, sudah ramai selebriti kita yang mengambil keputusan bertudung masih kukuh dalam industri ini.

"Masyarakat sendiri terbuka dengan keputusan kami sementelah ini perkara dituntut dalam Islam dan bukanya perkara yang tidak baik," ujarnya.

Tambahnya, walaupun dikenali sebagai ikon fesyen, bertudung tidak pernah menyekat dirinya untuk bergaya.

"Saya perlu menjadi contoh kepada peminat dan masyarakat di luar sana untuk menampilkan fesyen tudung yang sopan dan dibenarkan Islam.

"Bahkan, saya banyak membuat kajian mengenai cara bertudung terkini yang bersesuaian dengan pelbagai majlis yang bakal saya sertai.

"Yang penting, bertudung tidak menjadi halangan berfesyen sehingga menyebabkan kita kurang menarik atau menyerlah," katanya seni telah menjadi darah dagingnya dan ia akan terus berjalan seperti biasa.


Pihak syarikat hormati keputusan

Sementara itu, Duta produk Safi Rania Diamond ini berkata, dia bersyukur kerana pihak syarikat tersebut menyambut baik keputusannya bertudung.

"Alhamdulillah, mereka tiada sebarang halangan atau masalah untuk mengekalkan saya sebagai duta produk tersebut.

"Bagi mereka, perubahan saya ini sesuatu yang baik dan tidak akan merugikan syarikat. Apa yang penting tanggungjawab saya masih sama," jelasnya.

Di aju pertanyaan adakah dia bimbang pintu rezekinya terjejas selepas bertudung, kata Ziana, dia tidak pernah terfikir mengenai perkara itu.

"Bagi saya, ajal, maut dan rezeki ini semuanya ditangan Tuhan. Jika ada, adalah rezeki kita, jika tiada, tiadalah.

"Saya tidak pernah berfikir bertudung akan menyebabkan rezeki saya disekat, saya berserah kepada Tuhan dan saya yakin dia sentiasa melindungi hamba-Nya," katanya.

Sedikit mengenai persiapan Syawal yang bakal menjelma, jelas Ziana, segala persiapan dilakukan secara sederhana.

"Macam biasalah, setiap tahun pun persiapan lebih kepada anak-anak. Lagipun, saya tidak pasti tahun ini akan balik beraya bila memandangkan jadual kerja suami masih belum diterima," katanya lagi.