KUALA LUMPUR - Cadangan supaya kerajaan mengenakan caj terhadap setiap kenderaan dari Singapura ke Malaysia, sebagaimana dikenakan  negara berkenaan, adalah sesuatu yang amat munasabah.
  
Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata menerusi pelaksanaan itu, hasilnya boleh digunakan untuk tujuan menaik taraf dan membina jalan raya di negara ini.
  
"Apa yang dicadangkan oleh pelbagai pihak termasuk Pemuda Umno adalah sangat munasabah kerana Singapura juga menggunakan hasil caj itu untuk kegunaan pembangunan negara," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Sarawak Semenanjung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
  
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
  
Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pergerakan Pemuda Umno yang mahu kerajaan melaksanakan langkah itu sebagai berlaku adil kepada caj yang dinaikkan terhadap kenderaan negara ini yang memasuki negara itu.
  
Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dalam satu kenyataan pada 1 Julai lalu mengumumkan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing berdaftar ke republik itu akan dinaikkan dari S$20 (RM 51.31) kepada S$35 (RM89.78) sehari, bermula 1 Ogos ini.
  
Fadillah berkata, caj itu bagaimanapun tidak perlu dikenakan terhadap kenderaan dari negara jiran lain yang masuk ke negara ini seperti Thailand dan Brunei.
  
"Hal ini kerana mereka tidak mengenakan caj terhadap kenderaan Malaysia yang memasuki negara mereka," katanya. - Bernama