“Jika Khalid Samad tidak menghormati kuasa Sultan, bagaimana rakyat mahu menghormatinya?” - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

“Jika Khalid Samad tidak menghormati kuasa Sultan, bagaimana rakyat mahu menghormatinya?”




SHAH ALAM, 16 Julai – Tindakan anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mempersoal kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sehingga mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor diibarat satu penghinaan terhadap kewujudan institusi Islam tersebut.
Biar apa pun alasan Khalid, namun wakil rakyat daripada parti yang memperjuangkan Islam itu dilihat sepatutnya lebih sensitif dengan elemen menegakkan agama dan bukan bertindak sehingga mempamerkan kejahilannya sendiri terhadap peranan institusi berkenaan.
Pensyarah Undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz berkata kenyataan wakil rakyat itu dilihat jauh menyimpang daripada objektif partinya yang sering melaung-laungkan perjuangan hukum Islam.
Katanya, dalam soal sebegini, PAS perlu meneliti semula sumbangan Khalid dalam parti itu memandangkan ini bukan kali pertama beliau ibarat ‘menolak’ elemen menegakkan kesucian Islam di negara ini.
“Kewujudan Mais berlandaskan undang-undang Islam dan sebagai pejuang agama, Khalid sepatutnya sensitif malah perlu lebih menyokong peranan institusi itu kerana ini adalah cara untuk menegakkan Islam.
“‘Watak’ sebegini harus dilihat semula pemimpin PAS kerana banyak manalah jasa Khalid dalam membangunkan Islam di negara ini sehingga tergamak berbuat demikian (mempersoal peranan Mais),” kata Shamrahayu kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Secara ironinya, tindakan Khalid terus mempersoal institusi Islam di Selangor khususnya, mempamerkan keperibadian beliau semakin tercalar apabila tidak dapat mengasingkan keutamaan agama dengan agenda politiknya.
Menurut Shamrahayu yang juga dipinjamkan ke Institut Kefahaman Islam Malaysia sebagai Felow Utama Pusat Pengajian Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah kemuncak peringatan kepada semua pemain politik di negara ini.
Jelasnya, isu politik dan agama tidak wajar dicampuradukkan seperti yang cuba disuarakan Khalid kerana hanya dengan kuasa Sultan sahaja kelangsungan martabat Islam di negara ini dapat terus terpelihara.
Sehubungan itu beliau menyarankan jika Khalid tiada idea lebih baik untuk menguruskan pentadbiran Islam di Selangor, adalah lebih elok wakil rakyat itu ‘menutup mulutnya’ daripada terus mengguris perasaan masyarakat.
“Jika beliau (Khalid) sendiri tidak boleh hormat kuasa Sultan, bagaimana rakyat mahu menghormatinya? Jika ada compang-camping dalam pentadbiran Mais, tidak perlulah sehingga kuasanya dibubar, tapi boleh diperbaiki,” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "“Jika Khalid Samad tidak menghormati kuasa Sultan, bagaimana rakyat mahu menghormatinya?”"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI