Kumpulan Muslim harus patuh keputusan Peguam Negara, atau pergi ke mahkamah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kumpulan Muslim harus patuh keputusan Peguam Negara, atau pergi ke mahkamah

Pihak berkuasa dan masyarakat Islam perlu menerima keputusan Peguam Negara yang tidak mendakwa Persatuan Bible Malaysia (BSM), atau bersedia untuk mencabarnya di mahkamah, kata para peguam, namun tidak digalakkan bagi mereka berbuat sedemikian.

Mereka berkata Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sepatutnya menghormati keputusan Tan Sri Abdul Gani Patail, kerana beliau menggunakan budi bicara beliau dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, Mais dan Jais boleh membuat rayuan kepadanya untuk mempertimbangkan semula keputusan beliau untuk tidak mendakwa BSM.



Sebaliknya, Mais, Jais atau sebarang badan bukan kerajaan Islam boleh memfailkan semakan penghakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Gani, kata para peguam.
Peguam-peguam itu turut berkata BSM juga boleh menggunakan undang-undang untuk menggesa Jais memulangkan 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas dari perkarangan mereka di Damansara Jaya pada 2 Januari.

Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata di bawah Perlembagaan Persekutan, Peguam Negara dibenarkan menggunakan budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa kes bagi sesuatu kesalahan selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah.

"Memandangkan BSM merupakan badan bukan Muslim, terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada hendak mendakwa mereka. Mais dan Jais perlu menghormati keputusan beliau," katanya merujuk kepada kritikan yang dilemparkan kepada Gani selepas keputusannya minggu lepas menutup kes tersebut dengan memberi arahan supaya Jais memulangkan Bible tersebut.

Penguatkuasa Jais yang mengetuai serbuan tersebut percaya BSM melakukan kesalahan di bawah Enakmen Agama bukan Islam (Kawalan dan Sebaran kepada orang Islam) 1988.

Shukor berkata jika Mais dan Jais berniat membuat rayuan supaya Gani mempertimbangkan semula keputusannya tentang BSM, mereka perlu 'dengan sebulat suara meyakinkan Gani mereka mempunyai kes prima facie'.

Namun, dua hari selepas itu, Mais menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap BSM dengan mengatakan mereka tidak bersetuju dengan keputusan Gani untuk menutup kes itu, dan mendakwa keputusan tersebut mengelirukan umat Islam.

Mais juga berkata Bible yang dirampas tidak sepatutnya dipulangkan dan percaya bahawa mempunyai kes terhadap BSM di bawah enakmen tersebut.

Katanya lagi, kerajaan Selangor tidak berhak mengarahkan Jais untuk memulangkan kembali buku-buku yang dirampas.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa juga berkata kedua-dua Jais dan Mais mempunyai tanggungjawab untuk memelihara agama Islam, terutamanya di Selangor.

Peguam Nizam Bashir menjelaskan bahawa wujudnya Ketua Pendakwa Raya Shariah di Selangor di bawah Pentadbiran Enakmen Islam 1989 yang mempunyai kekuasaan hampir sama dengan Peguam Negara.

"Bagaimanapun, ketua pendakwa raya Shariah hanya boleh bertindak jika pesalah ialah Muslim yang perlu menghadap dakwaan di Mahkamah Syariah dalam negeri," katanya.

Beliau berkata adalah terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan jika BSM melakukan kesalahan di bawah Enakmen Agama bukan Islam (Kawalan dan Sebaran kepada orang Islam) 1988 atau Kod Penal.

Nizam berkata kedudukan undang-undang tradisional Malaysia dipetik daripada Inggeris yang mengatakan kekuasaan budi bicara Peguam Negara tidak boleh dicabar.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah di England kini tidak lagi menggunakan cara tersebut dan keputusan Peguam Negara kini boleh dipersoalkan.

"Sesiapa yang terkesan dengan keputusan Gani, tindakan atau yang ketinggalan olehnya, boleh memfailkan semakan penghakiman di Mahkamah Tinggi," katanya.

Nizam berkata ini bermaksud Peguam Negara boleh dipertanggungjawabkan atas keputusannya dan perlu menjelaskan mengapa beliau memutuskan untuk tidak mendakwa BSM dan ahlinya.

Sementara itu, Pengarah Lawyers for Liberty Eric Paulsen menggesa BSM untuk memfailkan saman sivil terhadap Jais kerana merampas Bible mereka serta mendapatkan perintah mahkamah untuk memulangkan kembali buku-buku tersebut.

"Keputusan Gani untuk tidak mendakwa BSM akan berguna bagi mereka." tambahnya.  – 21 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kumpulan-muslim-harus-patuh-keputusan-peguam-negara-atau-pergi-ke-mahkamah#sthash.xPr6JYWb.dpuf
0 Komentar untuk "Kumpulan Muslim harus patuh keputusan Peguam Negara, atau pergi ke mahkamah "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI