Dilema Khalid Ibrahim: Dari tokoh korporat ke MB sebuah negeri terkaya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Dilema Khalid Ibrahim: Dari tokoh korporat ke MB sebuah negeri terkaya

"Tan Sri. Kami tidak bercadang menukar Tan Sri tetapi Tan Sri yang perlu bertukar."

Itulah yang dibisikkan oleh Adun Meru yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman ketika 'Kajang Move' digerakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu.

Ketika itu, pimpinan PKR sudah membuat keputusan, Khalid perlu ditukarkan dan Anwar sendiri menawarkan dirinya untuk mengambil alih tempat Khalid.



Namun PAS, rakan utama kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak nampak sebarang sebab besar mengapa Khalid perlu ditukar. Ini kerana rakyat Selangor masih berdiri teguh bersama Khalid.
Benar, para ahli politik bermasalah dengan Khalid kerana beliau tidak pernah memberi muka kepada mereka dalam mentadbir Selangor.

Bagi beliau, semua perlu mengikut peraturan dan inilah yang akan menentukan kejayaan sesuatu perkara.

Di depan mungkin Khalid senyap ketika dihadapkan dengan sesuatu perkara yang beliau tidak persetujui, namun apabila pelaksanaannya, Khalid akan mengikut caranya.

PAS juga berpandangan bukan semudah itu untuk menukar Khalid. Ini kerana ia perlu mendapat persetujuan daripada istana.

Di samping itu, apa kebaikan yang diperolehi PAS jika Khalid ditukar sedangkan mereka adalah rakan komponen utama di negeri itu.

Ketika itulah datangnya nasihat Dr Rani kepada Khalid ini. Bagi Dr Rani, Khalid perlu mengubah caranya bekerja iaitu dengan lebih banyak berbincang dan berunding dengan rakannya dalam Pakatan.

Ini kerana merekalah yang sebelum ini membuat keputusan untuk meletakkan beliau di situ. Jika ini boleh dilakukan maka tidak perlu lagi Khalid ditukar.

Namun Khalid adalah Khalid. Inilah Khalid yang dulunya berada dalam Umno dan inilah juga Khalid yang kini bersama dengan Pakatan Rakyat dan menjadi menteri besar di negeri paling kaya di Malaysia.

Bagi rakyat, Khalid sangat ikhlas dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri besar. Beliau tidak dilihat berbuat sesuatu untuk kepentingan dirinya sendiri khasnya jika berkait dengan kewangan. Ini kerana Khalid sudah cukup kaya dan tidak perlu lagi duit lain.

Lihatlah komen-komen pembaca ketika berita negatif disiarkan oleh media termasuk oleh The Malaysian Insider sendiri terhadap Khalid. Mereka akan bangkit membela beliau.

Bagi mereka, Khalid mungkin ada silap atau kelemahan, tetapi ia tidak mewajarkan beliau untuk ditukar. Bahkan serangan terhadap beliau ditolak mentah-mentah oleh mereka.

Ada beberapa isu yang menjadikan Khalid sasaran rakan-rakannya dalam Pakatan:

Lebuhraya Kidex

Kerajaan pusat meluluskan lebuhraya ini. Namun seperti Langat II, projek ini melalui negeri Selangor dan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan.

Bagi orang politik Pakatan, Kidex adalah anugerah Umno untuk peguamnya Datuk Hafarizan Harun dan bekas peguamnya yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi kerana konsesinya selama 48 tahun dipegang oleh mereka secara langsung atau keluarga mereka.

Bagi penduduk Petaling Jaya, mereka bakal menjadi mangsa projek ini kerana ia bakal membelah kawasan mereka yang sudah sesak dan bakal menambahkan kesesakan lagi.

Mereka juga mempertikaikan mana janji Pakatan, khasnya Khalid sendiri yang mahu membina lebuhraya percuma sebagaimana yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Namun bagi Khalid, Kidex adalah salah satu alternatif untuk menyelesaikan kesesakan trafik yang setiap pagi dan petang dihadapi oleh pengguna jalan raya di MRR2. Ia adalah projek pusat bukan Selangor.

Janji lebuhraya percuma adalah untuk luar kawasan pembangunan pesat untuk membina kawasan pertumbuhan baru sebagaimana yang beliau lakukan untuk Lebuhraya Guthrie.

Lihatlah bagaimana Lebuhraya Guthrie berjaya membina banyak kawasan pertumbuhan baru.

2) Rampasan Bible Melayu dari Persatuan Bible Malaysia (PBM)

Bagi orang politik Pakatan, tindakan ini akan menghalau sokongan bukan Islam kepada mereka.

Ini kerana, hasil sokongan penuh merekalah Pakatan menang besar di Selangor dalam pilihan raya lalu.

Mereka menganggap pihak yang pro-Umno di belakang rampasan ini menunjukkan sikap tidak baik kerajaan Pakatan di mata bukan Islam.

Khalid pula tersepit antara enakmen yang diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dengan tekanan politik. Istana pula berada di sana yang akan menjaga kepentingan mereka.

Pemimpin Pakatan pula nampak jalan keluar apabila Peguam Negara campur tangan. Ikut sajalah. Namun sebelum Khalid bertindak, Istana pula membuat kenyataan. Maka Khalid terikat.

Isu pihak berkuasa tempatan

Banyak ahli politik bawahan di Selangor mengambil kesempatan untuk menjadi ahli-ahli majlis kerajaan tempatan bagi kepentingan diri dan parti mereka.

Yang utama adalah melalui pasar-pasar malam dan uptown yang dibuka. Ia digunakan sebagai sumber kewangan untuk individu pimpinan dan juga parti.

Khalid tidak senang dengan amalan ini. Bagi beliau ini satu perkara yang boleh merosakkan nama baik parti dan pemimpin berkenaan untuk jangka panjang.

Maka, urusannya diserahkan kepada pegawai PBT bukan lagi Jawatankuasa Penduduk atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang selama ini dikuasai oleh parti-parti yang memerintah Selangor iaitu PR.

Hasilnya, berlaku pertembungan antara parti peringkat akar umbi dengan Khalid.

Isu penstrukturan semula industri air

Sejak awal lagi, Khalid menganggap mengembalikan pengurusan industri air kepada kerajaan negeri Selangor adalah legasi yang perlu beliau tinggalkan sebelum berhenti.

Para pegawai beliau selalu berkata, selepas selesai isu ini Khalid sedia untuk berhenti.

Bagi Pakatan pula, banyak isu politik di belakang isu penstrukturan air ini. Khalid seorang tidak cukup untuk mengendalikannya. Lalu mereka melantik satu jawatankuasa untuk menasihati Khalid.

Namun Khalid semacam tidak mengiktiraf jawatankuasa ini. Sebab itulah sehingga kini jawatankuasa ini tidak pernah dapat bertemu dengan Khalid untuk menjalankan tugas mereka.

Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid mempunyai penasihat industri tersendiri dalam melaksanakan penstrukturan ini.

Dengan pengalaman di PNB dan Guthrie, Khalid yakin beliau lebih mempunyai kelebihan dalam isu ini.

Inilah empat isu besar yang menyebabkan Khalid berada dalam dilema. Di sinilah datangnya kewajaran nasihat Adun Meru Dr Rani Othman kepada Khalid.

Khalid tidak perlu ditukar sebenarnya. Yang perlu ditukar adalah pendekatan beliau dalam berparti dan memerintah negeri.

Khalid bukannya mengendalikan sebuah syarikat yang bertanggungjawab kepada Lembaga Pengarah yang limited sahaja, tetapi mentadbir sebuah kerajaan yang mempunyai parti yang meletakkan beliau di situ, rakyat yang perlu dijaga kepentingannya di samping peraturan perlu diikuti serta Istana yang turut ada kepentingannya.

Memang... sesiapapun yang duduk di kerusi Khalid akan berada dalam dilema. Semoga Khalid cekal untuk hadapi dilema ini dan semua yang lain juga bersabar dalam menghadapi dilema ini. – 21 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dilema-khalid-ibrahim-dari-tokoh-korporat-ke-mb-sebuah-negeri-terkaya#sthash.XPgwNcRP.dpuf
0 Komentar untuk "Dilema Khalid Ibrahim: Dari tokoh korporat ke MB sebuah negeri terkaya "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI