GMMF seru penguatkuasa agama jamin hak beragama bukan Islam - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

GMMF seru penguatkuasa agama jamin hak beragama bukan Islam

Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) menyeru badan penguatkuasa agama di setiap negeri agar kembali kepada ajaran Islam supaya keharmonian antara agama terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutif GMMF Datuk Saifuddin Abdullah berkata penganut bukan Islam seharusnya berasa selamat apabila berada di sebuah negara pimpinan orang Islam kerana Islam adalah rahmat untuk semua.

“Kita mesti berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar. Misalnya tidak ada paksaan dalam agama. Ini termasuklah kita tidak boleh menentukan bagaimana orang lain beragama.



“Orang Islam yang berkuasa di sesuatu tempat seharusnya menjamin keselamatan dan keharmonian penganut agama lain untuk mereka beramal dengan agama mereka," katanya dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu merujuk isu rampasan Bible kepada pihak pendakwa raya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, baginda bertitah supaya kemelut melibatkan Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) itu diselesaikan menerusi proses mahkamah.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebelum ini enggan memulangkan 321 Bible yang dirampas di PBM pada Januari walaupun Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memutuskan untuk tidak mendakwa pertubuhan itu.

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata PBM boleh didakwa di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran kepada Umat Islam) Selangor 1988 kerana Bible yang dirampas mengandungi kalimah Allah.

Saifuddin berkata walaupun Peguam Negara melihat dari aspek perundangan Persekutuan dan Mais melihat dari aspek undang-undang negeri, namun akhirnya kebijaksanaan umat Islam diperlukan dalam mengendali perkara ini.

Katanya, Rasulullah semasa hayatnya memberikan contoh terbaik bagaimana untuk berdepan dengan golongan bukan Islam dalam sesebuah masyarakat.

“Saya lebih suka merujuk kepada bukan soal undang-undang, tetapi soal kebijaksanaan umat Islam menguruskan kehidupan dalam masyarakat majmuk.

“Rasulullah sendiri ketika melibatkan orang Kristian, cara Rasulullah sangat bijaksana. Baginda tidak ganggu gereja dan amalan mereka selagi ia berlangsung sesama mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, mengulas mengenai keengganan Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk bertindak dalam kes hak jagaan anak pasangan berlainan agama, Saifuddin berkata Ketua Polis Negara perlu membuat pilihan.

Katanya, Khalid perlu bertindak atas lunas Perlembagaan negara dan tidak sesekali boleh dilihat sebagai berpihak.

“Khalid kena bertindak. Beliau kena buat pilihan. Ketua polis bukan pada agamanya tetapi pada jawatan. Beliau harus ambil tindakan berasaskan jawatan itu.

“Ketua polis boleh Islam, Kristian atau Buddha tetapi mesti ikut undang-undang negara. Jika undang-undang kata beliau kena ambil tindakan, maka ia perlu dibuat," katanya.

Satu surat perintah mahkamah dihantar kepada Khalid pada Rabu mengarahkan polis untuk mencari dan menyerahkan Prasana Diksa (Ummu Habibah) kepada ibunya, M Indira Gandhi.

Peguam M Kulasegaran yang mewakili Indira berkata salinan perintah itu turut diberikan kepada ketua polis Perak bagi mengesan anak berkenaan yang kini berada di bawah jagaan bapanya, Muhammad Ridzuan Abdullah.

Saifuddin berkata keengganan Khalid untuk mengambil tindakan sukar untuk difahami kerana undang-undang sepatutnya dipatuhi.

“Saya tidak faham mengapa Khalid bersikap seperti hari ini. Ketua polis tidak boleh berpihak dan mesti mematuhi undang-undang.
"Jika tak suka, minta Parlimen buat pindaan," katanya.

Ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar pihak yang berkenaan untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan, Saifuddin berkata: “Susah hendak komen. Sebab mereka berdua bercanggah sebenarnya."

Minggu lalu, Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo membuat laporan polis ke atas Khalid berhubung keengganannya menguatkuasakan perintah mahkamah sivil dalam kes hak penjagaan anak dua pasangan berbeza agama.

Gobind dalam laporannya berkata, kenyataan Khalid bahawa beliau tidak akan menguatkuasakan keputusan mahkamah memberi kesan buruk kepada sistem keadilan dan meminta polis menyiasatnya dengan secepat mungkin.

“Beliau (Khalid) berkata bahawa dalam kes-kes melibatkan keputusan hak penjagaan anak yang berbeza oleh mahkamah sivil dan mahkamah syariah, pihak polis tidak akan melaksanakan keputusan tersebut.

“Kenyataan tersebut mempunyai kesan yang berat kerana melibatkan perintah mahkamah yang harus dilaksanakan. Jika tidak dilaksanakan, sistem keadilan akan tergugat dan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara turut merosot,” katanya dalam laporan itu. – 21 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gmmf-seru-penguatkuasa-agama-jamin-hak-beragama-bukan-islam#sthash.xCmOzp5o.dpuf
0 Komentar untuk "GMMF seru penguatkuasa agama jamin hak beragama bukan Islam "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI