Rafizi Ramli: Saya tidak pernah pertikai kaedah PFI - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Rafizi Ramli: Saya tidak pernah pertikai kaedah PFI

SHAH ALAM – “Saya tidak pernah mempersoalkan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta(PFI),” kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung isu penswastaan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebelum ini beliau mengkritik hebat soal enam syarikat pemegang konsesi pembinaan kampus cawangan universiti tersebut yang didakwa dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan Umno termasuk ahli politik parti itu.

“Saya mengalu-alukan jawapan rasmi daripada pengurusan UiTM mengenai projek penswastaan UiTM kampus cawangan. Namun, mereka tidak sedikit pun menyangkal pendedahan saya mengenai siapa kroni-kroni yang berada di belakang syarikat-syarikat konsesi ini.

“Pengurusan UiTM juga tidak menyangkal kos sewa tahunan yang terpaksa ditanggung bagi setiap kampus seperti yang saya dedahkan.


"Ini bermakna pengurusan UiTM membantu mengesahkan bahawa kesemua fakta yang saya kemukakan selama ini mengenai siapa kroni di belakang setiap syarikat konsesi dan pertambahan kos lima kali ganda yang akan membebankan UiTM itu adalah benar dan tepat belaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Ekoran pendedahan itu, pentadbiran UiTM tampil membuat kenyataan yang menyebut projek UiTM di bawah PFI ini menguntungkan UiTM kerana wang didahulukan oleh syarikat konsesi malah universiti itu juga tidak perlu mengeluarkan kos menyenggara bagi tempoh 20 tahun ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Isu penswastaan: UiTM jawab Rafizi]


Mengulas perkara sama, Rafizi menegaskan, beliau tidak pernah mempersoalkan tentang kaedah PFI sebaliknya memandang isu perjanjian konsesi dengan kroni yang tidak telus.

“Pengurusan UiTM hanya mampu menjawab bahawa pendekatan menswastakan kampus-kampus cawangan UiTM kepada syarikat-syarikat konsesi ini menguntungkan UiTM kerana wang didahulukan oleh syarikat konsesi melalui kaedah PFI.

“Saya tidak pernah mempersoalkan kaedah PFI sekiranya ia dibuat secara telus dan terbuka. Negara-negara lain turut mengamalkan kaedah PFI tetapi tender dibuka kepada semua.

"Syarikat yang menawarkan harga dan nilai terbaik akan terpilih. Dalam kes konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM ini, konsesi dianugerahkan kepada syarikat kroni secara rundingan terus,” katanya.

Tambah Rafizi, beliau melihat kaedah rundingan terus ini akan menimbulkan banyak masalah terhadap pelaksanaan projek tersebut.

Rafizi mendakwa, masalah terbesar rundingan terus dengan syarikat-syarikat kroni adalah terma perjanjian konsesi berat sebelah dan hanya menguntungkan pemegang konsesi.

“Rakyat Malaysia telah lama terbeban dengan bayaran tahunan kepada pemegang konsesi akibat daripada perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh kerajaan dan syarikat kroni.

“Beban itu sekarang dirasakan terus oleh rakyat, misalnya kadar elektrik yang lebih tinggi akibat perjanjian konsesi penjanaan bebas (IPP) yang membebankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kadar tol yang terus menguntungkan syarikat tol sedangkan rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barang,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/saya-tidak-pernah-pertikai-kaedah-pfi-1.292085
0 Komentar untuk "Rafizi Ramli: Saya tidak pernah pertikai kaedah PFI"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI