Tiki taka Bible Selangor: Antara kegagalan pemimpin, punca dan harapan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tiki taka Bible Selangor: Antara kegagalan pemimpin, punca dan harapan

Kemelut Bible Selangor kini menjadi 'tiki taka' baru; satu taktik permainan bola sepak apabila tiada satu pihak pun yang sanggup mengaku membuat silap merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban serta memulangkannya kembali kepada pemilik asal.

Apatah lagi meminta maaf kerana mengambil kitab suci satu komuniti yang mempunyai hak mengamalkan kepercayaan agama di Malaysia mengikut bahasa pilihan masing-masing.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memutuskan bahawa Persatuan Bible Malaysia (PBM) tidak melanggar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 mahupun Kanun Keseksaan.



Disebabkan itu, Bible yang dirampas perlu dipulangkan, tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berfikiran sebaliknya.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pentadbiran negeri nampaknya tidak berani menegur badan agama terbabit supaya mematuhi keputusan Peguam Negara. Malah Putrajaya juga dilihat tidak bersikap tegas dalam isu ini.

Tidak ada seorang pun pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan menunjukkan komitmen bahawa setiap individu bebas mengamalkan kepercayaan mereka di mana-mana sahaja.

Kenapa orang Sabah dan Sarawak dihalang bersembahyang mengikut dialek mereka sendiri di Selangor tetapi dibolehkan di tempat mereka sendiri?

Adakah rakyat Malaysia daripada Sabah dan Sarawak hanya berguna setiap lima tahun sekali sahaja tetapi sebaliknya tidak dialu-alukan ketika menetap di Semenanjung? Bukankah setiap rakyat mempunyai hak sama rata mengikut undang-undang?

Persoalannya, di manakah letaknya kepimpinan dalam isu ini?

Bible itu dirampas pada 2 Januari, Peguam Negara membuat keputusan pada minggu lalu namun naskhah berkenaan masih kekal disimpan oleh badan berkuasa agama negeri.

Sebabnya, juga, tiada dalam kemelut ini. Mengapa pihak berkuasa agama Islam boleh percaya Kristian dan agama lain di luar sana mahu memurtadkan penganut Islam? Di mana dan apa bukti mereka?

Orang Islam, mengikut undang-undang Islam di Malaysia, tidak boleh menukar agama atau murtad dengan mudah seperti mendaftar status agama dalam kad pengenalan.

Jadi mengapa percaya ada cubaan jahat memurtadkan orang Islam supaya masuk Kristian melalui Bible berbahasa Melayu dan Iban?

Atau adakah cuma perkataan "Allah" yang digunakan dalam Bible itu menyinggung perasaan pihak berkuasa agama?

Undang-undang sebaliknya jelas menyatakan Bible adalah teks agama yang asas dan tidak termasuk dalam undang-undang negeri.

Jadi apakah alasan mereka?

Adakah pihak berkuasa agama ragu-ragu tentang pengetahuan orang Islam dan percaya mereka akan mudah terpesong dengan Bible sedemikian?

Apatah lagi Al-Quran ditulis dalam bahasa Arab, bukannya Melayu atau Iban.

Sikap berdolak-dalik untuk terus menyimpan Bible yang dirampas mencerminkan pihak berkuasa ini hanya mahu menunjukkan kebesaran kuasa mereka terhadap Peguam Negara dan kerajaan yang dilantik.

Mereka mahu rakyat Malaysia ikut telunjuk mereka, tanpa mempedulikan konsep wasatiyyah dan perpaduan.

Tindakan mereka hanya mencalarkan imej Malaysia dan keistimewaannya dalam membentuk keharmonian dan perpaduan antara rakyat, tidak kira kaum, agama, dan kepercayaan.

Dan tidak ada seorang pemimpin pun yang sanggup berdiri mempertahankannya.

Maka, tiki-taka diteruskan dan Malaysia semakin retak. Tidak kira daripada Pakatan Harapan Rakyat atau 1Malaysia. – 21 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiki-taka-bible-selangor-antara-kegagalan-pemimpin-punca-dan-harapan#sthash.oqy7Uw4H.dpuf
0 Komentar untuk "Tiki taka Bible Selangor: Antara kegagalan pemimpin, punca dan harapan "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI