Kabinet tiada kuasa ubah status Malaysia sebagai negara sekular, kata peguam - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kabinet tiada kuasa ubah status Malaysia sebagai negara sekular, kata peguam

Perdana menteri atau Kabinet tidak mempunyai kuasa untuk mengubah kuasa mahkamah tertinggi negara yang meletak Malaysia sebagai sebuah negara sekular, kata peguam perlembagaan dan akademik.

Usaha untuk mengubah status tersebut menurut pakar adalah di luar bidang kuasa eksekutif mereka sebagai kerajaan, malah menegaskan kenyataan mereka sekadar pendapat dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Baru-baru ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Malaysia bukan sebuah negara sekular, menimbulkan kontroversi.

Pakar juga berkata kenyataan tersebut melanggari prinsip pemisahan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana kuasa eksekutif selaku pentadbir negara, penggubal undang-undang memperkenalkan undang-undang dan hakim menterjemahkan undang-undang.
Pada 1988, lima panel Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwa Raya memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Jamil Khir dalam jawapan balas bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Sibu, Oscar Ling Chi Yew mendakwa pembentukan Malaysia adalah berasaskan pentadbiran Islam di bawah kesultanan Melayu dan Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing.

Profesor Gurdial Singh Nijar dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya berkata kenyataan menteri seperti Jamil Khir dilihat membelakangi fungsi kehakiman kerana is kenyataan berkonflik.

"Keputusan 1988 mengikat semua termasuk cabang eksekutif kerajaan dan perlu dihormati," katanya.

Jika tidak, undang-undang seperti terkandung dalam Rukunegara dan pemisahan kuasa digariskan oleh Perlembagaan akan dilanggar.

Gurdial berkata pertikaian ini tidak perlu dibawa ke Mahkamah Persekutuan lagi untuk diadili seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen DAP Gobind Singh memandangkan mahkamah sudah membuat keputusan.

Peguam Gurbachan Singh Johar menjelaskan keputusan Mahkamah Agung menterjermahan "Islam" atau "agama Islam" dalam Artikel 3 bermakna undang-undang itu merujuk kepada amalan dan majlis.

"Lebih-lebih lagi, tiada peruntukan dalam perlembagaan yang menyatakan undang-undang Islam akan mengambil alih hak asasi warganegara," katanya.

Beliau berkata mengambil kira sejarah pembentukan Malaya dan kemudian Malaysia, menunjukkan arkitek yang menubuhkan negara ini mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular.

Gurbachan berkata jawapan Jamil Khir itu sama sekali bertentangan dengan keputusan mahkamah sebelum ini.

"Paling baik pun, kenyataan tersebut semata-mata pandangan kerajaan sedia ada untuk mempengaruhi orang ramai," kata Gurbachan yang juga bekas pensyarah undang-undang di Universiti Malaya.

Peguam Nizam Bashir pula berkata pakar perundangan akan menyuarakan pandangan berbeza kerana Perlembagaan Persekutuan memiliki nilai Islamik dan sekular.

"Sebagai contoh, negara dalam Malaysia dibenarkan untuk menggubal undang-undang untuk Muslim dan kerajaan negeri diberi kuasa mengutip cukai minuman keras," katanya.

Menurut Nizam, sistem perundangan Malaysia mempunyai persamaan dengan India di mana Muslim dikenakan undang-undang sivil dan undang-undang Syariah manakala bukan Muslim hanya dikenakan undang-undang sivil.

"Tapi persoalan yang perlukan jawapan ialah sejauh mana sekular kita jika dibandingkan dengan Perancis di mana agama tidak boleh ditunjukkan secara umum," katanya.

Perancis adalah sepenuhnya negara sekular di mana agama adalah hal peribadi dan dilarang daripada ditunjukkan kepada umum.

Peguam dari Sarawak, Baru Bian pula membidas Jamil Khir sebagai "menteri yang tidak bermaklumat" dan amat dikesali apabila ahli politik Umno memutarbelit fakta untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan peribadi.

Bian yang juga Ketua PKR Sarawak berkata bukti secara jelas menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Malahan Bian memetik bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman yang mengakui Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan bukannya sebuah negara Islam.

Selain Tunku, perdana menteri ketiga Tun Hussein Onn juga pernah menolak untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Negara masih berfungsi sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi," kata beliau.

Bian berkata semasa perbincangan pembentukan Malaysia, masyarakat bukan Islam juga menyatakan pandangan mereka mengenai Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Malah, Bian berkata peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan menjadikan Islam sebagai agama rasmi tidak terpakai di Sarawak.

"Ketiadaan agama dalam negeri adalah kunci persetujuan Sarawak untuk menyertai Malaysia pada 1963 kerana pertimbangan baik pemimpin negara terdahulu.

"Jangan kata kami sebahagian negara Islam. Rakyat Sarawak tidak akan terima pertukaran tanpa bersama mengenai terma kontrak oleh satu pihak," kata Bian.

Menurut Bian, jika Jamil Khir masih mendakwa Malaysia sebuah negara Islam, beliau bercadang untuk membawa Perjanjian Malaysia 1963 ke peringkat antarabangsa untuk diadili ke atas penipuan dan salah tafsir oleh pemerintah negara. – 20 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kabinet-tiada-kuasa-ubah-status-malaysia-sebagai-negara-sekular-kata-peguam#sthash.G7H1G22U.dpuf
0 Komentar untuk "Kabinet tiada kuasa ubah status Malaysia sebagai negara sekular, kata peguam "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI