KUALA LUMPUR - Penglibatan lebih ramai agamawan dalam Umno menunjukkan parti itu lebih ke depan berbanding parti lain, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Ali Rustam.

Menurutnya, ekoran watak-watak agama lebih diminati pada zaman sekarang, usaha penglibatan Umno dalam hal keagamaan perlu dilipat gandakan.

"Orang ramai sekarang ini minat kepada watak-watak agama dan generasi muda juga minat kepada hal-hal berkaitan agama.

"Sebab itu, kita perlu melipat gandakan lagi penglibatan Umno dalam hal keagamaan bukan sahaja dalam majlis formal, tapi juga dalam kehidupan sehari-hari bagi memeriahkan surau dan masjid," katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Presiden pada Perhimpunan Agung Umno, hari ini.

Katanya, penglibatan golongan agamawan ini membantu Umno dilihat lebih kedepan berbanding parti lain.

"Sebagaimana yang kita lakukan sebelum ini, perlu lagi kita perkukuhkan. Kita juga perlu libatkan lebih ramai lagi alim ulama bersama dengan Umno sepertimana yang kita lakukan pada masa lepas.

"Dengan penglibatan alim ulama dengan lebih ramai, nampak sekarang Umno terkedepan berbanding parti-parti lain," katanya.

Sementara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan penglibatan agamawan sebagai bukti bahawa Umno bersifat inklusif.

"Penglibatan agamawan ini membuktikan Umno bersifat inklusif bukan eksklusif. Ia terbuka kepada semua. Mereka yang tidak berpeluang tetapi boleh diambil kerana kelebihan nilai tambah yang ada pada mereka itu.

"Ia membantu Umno untuk kita memperkasakan parti. Ini perkara baru yang menarik dan patut diteruskan. Idea dan buah fikiran mereka boleh digunapakai di peringkat nasional," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/penglibatan-agamawan-umno-lebih-ke-depan-1.227037