DAP diminta jangan pancing ahli PAS, tunggu wadah baharu - Ahmad Awang - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

DAP diminta jangan pancing ahli PAS, tunggu wadah baharu - Ahmad Awang

Tindakan DAP memancing dan menerima kemasukan bekas ahli PAS ke dalam parti mereka tidak disenangi sesetengah pemimpin parti Islam itu yang mahu menubuhkan wadah baharu politik Malaysia, kerana ia dianggap menganggu proses itu.

Namun begitu, ada yang berfikiran positif dengan tindakan DAP itu, menganggap perkara itu terjadi akibat kekesalan yang dirasai sebahagian ahli terhadap apa yang berlaku dalam PAS baru-baru ini.
Calon presiden PAS dalam muktamar tahunan PAS ke-61 baru-baru ini, Ahmad Awang berkata, DAP tidak wajar memancing ahli PAS untuk menyertai mereka kerana ia boleh menganggu proses penubuhan wadah baharu yang sedang diusahakan sekarang.

"DAP tahu kita sedang usahakan wadah baharu itu, jadi tidak perlulah memancing ahli PAS menyertai mereka.

"Jika DAP buat macam ini dan ada yang masuk, maka orang akan kata sahlah memang DAP terlibat dalam kekecohan PAS selama ini," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Bagi Ahmad yang memainkan peranan penting dalam penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak selepas pilihan raya umum (PRU) 2008 lalu, DAP dan ahli PAS perlu bersabar sekejap sehingga wadah baharu itu ditubuhkan kerana ia akan bekerjasama dengan parti sekular itu juga.

"Bukan lambat (bertindak). Banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum wadah baharu ini dibentuk.

"Antaranya, apa kedudukan aset yang misalnya diletakkan atas nama pemimpin yang mahu menyertai wadah baru ini? Ini semua perlu diselesaikan," kata Ahmad.

Bekas pesuruhjaya PAS Perak itu pernah menolak permintaan segelintir pemimpin parti di peringkat Pusat agar kerajaan perpaduan ditubuhkan dengan Umno selepas PRU-12 lalu.

Ahmad mengulas tindakan beberapa ahli PAS seperti aktivis Pemuda Sheikh Omar Ali dan peguam Zulhazmi Sharif yang mengumumkan penyertaan mereka ke dalam DAP baru-baru ini, sesuatu yang tidak pernah terfikir ahli parti Islam itu selama ini.

Ini kerana, DAP membawa bersamanya imej tertentu kepada kebanyakan ahli PAS dan orang Melayu.

Oleh itu, tindakan mereka yang keluar parti itu untuk menyertai parti sekular itu dianggap tindakan mereka dianggap keterlaluan oleh sesetengah ahli PAS.

"Mujurlah tak menang jadi ketua pemuda sebelum nie... kalau tidak habis hancur para pemuda PAS punya masa depan. Kita perlukan pemimpin yang faham erti perjuangan dengan PAS... bukan yang hanya ada semangat hangat-hangat tahi ayam dan mabuk isu," tulis Herman Samsudeen aktivis Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dalam Facebooknya.

Herman merujuk kepada tindakan Zulhazmi, calon ketua Pemuda PAS 2013, yang menyertai DAP minggu lalu.

Sementara itu, DAP dipercayai memang berusaha memujuk ahli dan pemimpin PAS yang tidak senang dengan apa yang berlaku dalam parti itu supaya menyertai mereka.

Bekas naib yang dipertua PAS kawasan Batu, Tarmizi Mohd Jam menyiarkan satu teks sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada beliau daripada seorang ahli Parlimen DAP.

"Selamat berpuasa datuk. Nama saya Lim Lip Eng, ahli Parlimen Segambut, menjemput Datuk dan kawan-kawan PAS cawangan Batu masuk DAP. Terima kasih," tulis Lim seperti di dalam SMS itu.

Bagaimanapun, Tarmizi tidak menerimanya sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya melihat SMS itu atas dasar prihatin DAP terhadap nasib ahli PAS yang dipinggirkan dalam parti mereka sendiri.

"Namun saya dan rakan ucapkan berbanyak terima kasih atas undangan itu, kerana kami pun sudah 'ready' dengan komitmen lain yang lebih fokus," kata Tarmizi.

Sikap positif Tarmizi itu sememangnya juga diambil ahli kumpulan G-18 - pemimpin profesional dan progresif yang tewas dalam pemilihan parti awal bulan lepas - yang sedang dalam proses membentuk wadah baharu politik Malaysia.

Setiausaha G-18 Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mahu melihat isu ini secara positif kerana ia berlaku selepas mereka sangat kesal dengan apa yang berlaku dalam PAS baru-baru ini dan juga apa yang berlaku dalam Umno sekarang.

"Jadi, mereka mahukan platform baru untuk bergerak. Kalau air yang tak bergerak pun bahaya, nyamuk-nyamuk akan membiak.

"Cuma, saya harap selepas wadah baharu kita tubuhkan, mereka akan kembali semula," katanya kepada The Malaysian Insider.

0 Komentar untuk "DAP diminta jangan pancing ahli PAS, tunggu wadah baharu - Ahmad Awang"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI