Pasma, G18 bergabung - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pasma, G18 bergabung

ALOR SETAR - Pasma bakal bergabung dengan kumpulan bekas pimpinan Pas, G18 dalam usaha menggerakkan penubuhan sebuah parti baharu.

Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, hanya sebuah parti baharu akan diwujudkan, rentetan daripada pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua pihak sebelum ini.

Penjelasan itu dibuat selepas timbul kekeliruan mendakwa Pasma juga akan menubuhkan parti baharu, manakala sebuah lagi parti baharu akan diasaskan oleh G18.

“Tidak akan wujud dua parti baharu. Pasma tidak akan tubuhkan parti baharu berikutan G18 sudah berhasrat tubuhkan parti baharu yang dijangkakan selepas Aidilfitri. Pasma hanya akan sokong penubuhan parti politik Islam yang belum diberi nama khusus itu,” katanya.

Phahrolrazi berkata, tidak perlu wujud dua parti berasingan dan bertembung sesama sendiri, sedangkan perjuangan parti itu kelak selari dan mempunyai persefahaman dengan Pasma.

“Hasrat Pasma mahu wujudkan parti baharu mungkin sudah tidak relevan, lebih elok kekal sebagai NGO yang akan menggerakkan usaha ke arah penubuhan parti yang dikendalikan G18 itu,” katanya.

Phahrolrazi turut menjangkakan akan berlaku penghijrahan beramai-ramai sebahagian besar ahli Pas di seluruh negeri, sejurus parti baharu itu didaftarkan.

Mengulas kedudukannya sebagai ahli Pas kawasan Kuala Kedah, katanya, selagi parti baharu itu belum wujud secara sah, beliau masih kekal sebagai ahli.

“Jika selepas ini, saya sertai parti lain, secara automatik keahlian sebagai ahli Pas terlucut,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, Phahrolrazi mengumumkan pihaknya merancang untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu bagi menggantikan peranan Pas dalam pakatan pembangkang.

Tiga hari selepas itu, dalam sebuah majlis di Muar, pemimpin Pas dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti berhasrat membentuk sebuah gerakan dikenali G18.
G18 diterajui bekas Timbalan Presiden Pas yang tewas, Mohamad Sabu, selain bekas Naib Presiden, Salahuddin Ayub dilantik sebagai timbalan pengerusi manakala Suhaizan Kayat sebagai penolong setiausaha.

Kumpulan itu dikatakan akan mengadakan jelajah di seluruh negara, mempromosi kempen mereka untuk satu politik ‘Harapan Baru’ atau ‘Harapan dan Impian Baru’ selepas sambutan Aidilfitri.

0 Komentar untuk "Pasma, G18 bergabung"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI