ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini memaklumkan bahawa tiga individu telah disenarai pendek bagi mengisi kekosongan jawatan Rektor Kolej Universiti Insaniah.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya memerlukan masa untuk mengumumkan nama calon yang dipilih itu sebelum mendapat persetujuan daripada individu berkenaan.     "Kita telah ada perbincangan kelmarin (semalam) di Kuala Lumpur bersama wakil-wakil kementerian (Pendidikan).

"Untuk buat tawaran kepada calon nombor satu, belum tahu mereka berminat atau tidak. Mereka mempunyai kelayakan tinggi dan mungkin mereka dapat tawaran daripada universiti lain juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Buku Kedah 2013 di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini tujuh individu menghadiri temuduga yang dikendalikan jawatankuasa khas pemilihan rektor baharu Kuin di sini.

Mukhriz berkata perbincangan di Kuala Lumpur itu sepakat untuk meletakkan Kuin di peringkat yang lebih tinggi dengan memperkukuh kuliah berteraskan agama yang menjadi kelebihan Kuin selama ini, selain jurusan lain.

Di samping itu proses pembelajaran Kuin juga akan dimantapkan, katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan melihat bagaimana Kuin dapat menyerap pelajar yang  sebelum ini belajar di Mesir yang terpaksa dibawa pulang akibat pergolakkan di negara itu.

"Kerjasama sedia ada yang terjalin dengan Universiti Al-Azhar boleh membantu kita menawarkan kuliah bagi menampung pelajar ini sehingga pergolakan di Mesir dapat diselesaikan," katanya dan menambah 1,111 pelajar dari Kedah menuntut di Mesir. - Bernama