SHAH ALAM - Kerajaan memang menyedari bahawa peningkatan jenayah kejam pada masa ini ada kaitan dengan pemansuhan Ordinan Darurat (EO).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian polis mendapati kadar jenayah terutama jenayah kejam meningkat selepas penjenayah yang sebelum ini ditahan bawah EO, dibebaskan setelah pemansuhan ordinan itu.

"Kita dapat pastikan, memang inilah kesannya (jenayah meningkat) selepas tahanan EO dilepaskan. Tapi apabila ini berlaku, kita telah kehilangan alat iaitu undang-undang itu sendiri. EO sudah tak ada, jadi kita tak boleh lagi (tahan mereka)," katanya.

Menurut Wan Junaidi, apa yang berlaku sekarang memang ada hubung kait dengan undang-undang yang tidak mencukupi.

"Kita boleh tangkap penjenayah kecil-kecilan tetapi ketua mereka terlepas. Polis tahu suspek tapi mereka tiada bukti nyata. Orang ini (penjenayah kecil-kecilan) juga tak akan berani beri penjelasan secara terbuka kepada polis, apa lagi untuk jadi saksi di mahkamah. Oleh itu, kita amat memerlukan undang-undang bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Wan Junaidi berkata, pihaknya terima hakikat bahawa pihak penguatkuasa (polis) mahu EO diperkenalkan semula.

"Tetapi kerajaan tidak akan terus terima cadangan itu. kita perlu teliti pandangan pelbagai pihak untuk check and balance," katanya.

Ditanya lagi mengenai undang-undang baru yang dijangka akan dibentang di Parlimen untuk menggantikan EO, Wan Junaidi sebaliknya menjelaskan, EO tidak akan dikuatkuasakan semula.

Malah katanya, tidak ada undang-undang baru yang akan diperkenalkan bagi menggantikan EO.

"Kita dalam peringkat penyelidikan. Mungkin kita akan pinda undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan pencegahan jenayah," katanya.