Rawang: Hatijah Aam mengakui Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) menyasarkan kutipan daripada hasil aktiviti syarikatnya sebanyak RM40,000 sebulan daripada 40 zon mengikut pecahan lokasi yang dibahagikan di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, katanya biasanya, hanya separuh daripada jumlah zon yang berjaya mencapai sasaran kutipan bulanan yang akan disalurkan mengikut konsep ‘pemusatan akaun’ bertujuan menambahkan kekayaan syarikat.

Agih wang ikut zon


“Pengagihan wang dilakukan mengikut zon masing-masing. Seperti contoh, dalam satu zon memiliki berpuluh rangkaian perniagaan GISB yang diurus oleh keluarga GISB sendiri.

“Pihak GISB akan membantu zon yang kurang kutipan bulanan mengikut sasaran yang ditetapkan. Ada sebahagian pekerja tidak menerima upah dalam bentuk gaji, namun disediakan makan minum, tempat tinggal dan pengangkutan.

“Manakala konsep rumah amal mula-mula diwujudkan selepas ibu bapa keluar bekerja untuk GISB, jadi anak-anak mereka ditempatkan dan diurus oleh penjaga pusat jagaan. Namun rumah amal berkembang selepas ada jiran dan pihak luar yang berminat untuk menempatkan anak-anak mereka di rumah GISB,” katanya yang menjelaskan sebahagian besar anak-anak rumah amal kelolaan GISB adalah anak-anak ahli sendiri.

Dalam pada itu, Hatijah turut mendakwa GISB memiliki aset RM1 bilion yang diperoleh hasil perniagaan di dalam dan luar negara, seperti yang tertulis dalam buku bertajuk Perjuangan Abuya 45 tahun.
Katanya, kekayaan syarikat GISB itu selaras dengan saranan pengasas ajaran al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad yang menganjurkan kekayaan syarikat supaya ahli-ahli boleh menikmati kehidupan dalam suasana mewah dan elit.

Dalam pada itu, Hatijah berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meminta penyata akaun GISB pada 6 September ini bagi menentukan GISB dibatalkan atau tidak,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SasarkutipanGISBRM40_000sebulan/Article