Bekas Ketua Pemuda Pas Sindir Hadi Awang - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bekas Ketua Pemuda Pas Sindir Hadi Awang

ATAS kertas belum cukup sebulan kalah, namun bekas Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat sudah berani menunjukkan gaya politik ‘budimannya’ apabila menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bangga mendakwa dirinya sebagai Setiausaha G18;  Suhaizan yakin parti politik baharu yang bakal ditubuhkan untuk menggantikan Pas dalam pembentukan Pakatan 2.0 tidak akan ‘tenggelam’ ekoran sumpahan Abdul Hadi.
Suhaizan yang tewas pada pemilihan Muktamar bulan lalu sebaliknya menyifatkan Abdul Hadi agak ketinggalan apabila memberi peringatan kononnya ahli dan pemimpin parti Islam versi baharu itu akan ‘tenggelam’.
“Zaman sekarang sudah berubah. Landskap politik juga sudah bertukar. Apa yang bakal ditubuhkan oleh G18 ini berbeza dengan sejarah lama. G18 bukan dibentuk atas inisiatif satu atau dua bekas pemimpin serpihan Pas.
“Ia sebaliknya adalah gerakan rakyat, hasil sokongan rakyat,” katanya dipetik dari portal beritaMstar. G18 ialah gelaran merujuk kepada pergerakan dianggotai 18 pemimpin Pas yang tewas dalam Muktamar akhir bulan lalu.
Portal berita AgendaDaily sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi memberi amaran bahawa pemimpin dan ahli Pas yang menyertai parti atau NGO lain akan ‘tenggelam’ bersama parti baharu yang bakal mereka tubuhkan itu.
Kenyataan Abdul Hadi turut disokong Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengatakan bahawa sejarah pernah membuktikan penubuhan parti serpihan Pas tidak mampu bertahan lebih lama.
Beliau menamakan Parti Melayu Semangat 46 dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia atau Hamim sebagai contoh yang akhirnya terpaksa dibubarkan walaupun dianggotai oleh ramai pemimpin politik hebat tanah air waktu itu.
Mengulas lanjut, Suhaizan yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat kepada Nik Abduh, anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat; bagaimanapun menolak amaran dan peringatan Abdul Hadi.
“G18 amat berbeza dengan Hamim mahupun parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia). Parti-parti itu ditubuhkan oleh bekas pemimpin Pas yang mahu bergerak sendiri tanpa dikaitkan dengan parti-parti lain.
“Bezanya G18 bukan ditubuhkan oleh pemimpin, walaupun yang mengetuainya adalah bekas pimpinan Pas tapi hakikatnya ia didorong oleh sokongan rakyat, bukan sahaja ahli Pas,” tegasnya menempelak Abdul Hadi.
Jelas Suhaizan lagi, G18 kini giat mengadakan pertemuan dengan pelbagai NGO tempatan yang mendokong perjuangan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).
G18 diketuai bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan dijangka bergabung dengan Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) diketuai Datuk Phahrolrazi Zawawi yang dikatakan amat mesra DAP dan PKR.
Mereka akan membentuk Pakatan 2.0 tanpa penglibatan Pas yang memutuskan hubungan dengan DAP sehingga mengakibatkan parti cauvinis Cina itu baru-baru ini mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah pun dibubarkan.

Gertakan DAP selain perkembangan terbaharu Pasma dan G18 menyebabkan pemimpin Pas kemudian dilaporkan terpaksa berbaik-baik dengan PKR di Selangor kononnya pakatan sedia ada masih wujud. – Mynewshub.cc
0 Komentar untuk "Bekas Ketua Pemuda Pas Sindir Hadi Awang"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI