PAS khianati slogan ‘PAS for all’, kata Bersih - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PAS khianati slogan ‘PAS for all’, kata Bersih

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, PAS mengkhianati idea mereka sendiri apabila menyentuh isu perkauman. – Gambar The Malaysian Insider, 31 Julai, 2014.
Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0 menggesa PAS supaya berhenti bersikap perkauman dan mengenepikan hak masyarakat lain demi mencapai cita-cita politik mereka, merujuk kepada perbualan pemimpin parti itu dalam WhatsApp yang didedahkan kepada umum.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, sifat perkauman itu langsung tidak mencerminkan slogan “PAS for all” yang digunakan semasa pilihan raya.

"PAS mengkhianati idea mereka sendiri apabila menyentuh isu perkauman. Parti itu nampaknya lupa kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka," katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Turut menyatakan pendirian sama timbalan pengerusi Bersih 2.0 Dr Ahmad Farouk Musa, bendahari Masjaliza Hamzah dan ahli jawatankuasa (AJK) badan bukan kerajaan (NGO) itu yang lain.
Katanya, sifat perkauman juga mencabuli Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan syarat pemisahan antara kaum demi memastikan pentadbiran berjalan lancar dan mengekalkan hubungan antara masyarakat tanpa menyebut mana-mana kaum.

NGO itu turut mengutuk pemisahan kaum yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang menekankan keharmonian dan keamanan antara semua rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia dikenali sebagai satu bangsa dan bukan dibezakan melalui warna kulit.

"PAS dan parti politik lain yang berasaskan perkauman perlu segera berhenti bersikap perkauman hanya untuk meneruskan agenda politik masing-masing," katanya.

Perbualan kumpulan AJK PAS Pusat dalam WhatsApp tersebar luas apabila pengarah operasi pusat penyelidikan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengemukakan cadangan supaya PAS terus kekal di Selangor tanpa Pakatan.

"Lepas ni kalau DAP, gereja dan non-Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik sahaja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-Muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini," mesej itu berbunyi.

Mesej itu kemudian menimbulkan ketegangan antara parti lain dalam Pakatan Rakyat apabila DAP dan PKR menganggap PAS cuba membelakangi perjuangan Pakatan walaupun Zuhdi menjelaskan ia hanya satu senario analisis dan tidak melibatkan pendirian PAS.

Pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata, pendapat Zuhdi bertentangan dan melanggari prinsip Pakatan Rakyat termasuk manifesto Buku Jingga.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua pula menggesa Zuhdi memohon maaf secara terbuka kepada penyokong Pakatan kerana mengeluarkan pandangan bersifat rasis dan ekstremis.

Pua juga hari ini meramalkan PAS akan hilang lebih banyak kerusi jika pilihan raya mengejut diadakan sekaligus menyebabkan kejatuhan Pakatan dan mengembalikan semula kuasa kerajaan Selangor kepada Umno.

PKR dan DAP juga mendesak agar PAS mengenakan tindakan disiplin terhadap Zuhdi. – 31 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-khianati-slogan-pas-for-all-kata-bersih#sthash.4lwoGjAE.dpuf
0 Komentar untuk "PAS khianati slogan ‘PAS for all’, kata Bersih"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI