Mubarak minta Dr Mahathir hentikan ‘perang dingin’ dengan Najib - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Mubarak minta Dr Mahathir hentikan ‘perang dingin’ dengan Najib

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia minta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan cara kekeluargaan, bukan kritikan terbuka. Gambar fail The Malaysian Insider.
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan 'perang dingin' secara terbuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata Dr Mahathir boleh menyuarakan sebarang teguran secara kekeluargaan kepada Najib dan bukannya mengkiritik dengan cara terbuka.

"Mubarak amat kesal dengan kritikan terbuka yang diluahkan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Najib.

"Implikasi keterbukaan ini akan merosakkan perjuangan yang Tun (Dr Mahathir) sendiri akui masih belum selesai lebih-lebih lagi ia kini mengelirukan anggota parti dan rakyat keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata, beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Najib kerana melihat dasar dan tindakan beliau tidak berkesan.

Dr Mahathir berkata, berdasarkan situasi semasa dalam negara, kepimpinan Najib perlu diperbaiki, justeru itu beliau terpaksa mengambil pendekatan menarik balik sokongannya supaya Najib mempelajari sesuatu.

"Harapan saya Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13). Malangnya, sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan daripada segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Najib," kata Dr Mahathir dalam blognya itu.

Aziz berkata, Dr Mahathir perlu memberi peluang kepada Najib untuk meneruskan kepimpinannya kerana Najib menunjukkan prestasi yang baik berikutan ekonomi negara semakin berkembang pesat.

Katanya, Najib memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Politik (PTP) sebagai langkah berani untuk melonjakkan negara ini ke arah mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.

"Dasar ini dan lain-lain inisiatif baru yang dilancarkan mula menunjukkan kesan positif sehingga pertumbuhan ekonomi terus mantap, kepercayaan pelabur asing dan tempatan meningkat.

"Proses penstrukturan ini diiktiraf institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," katanya.

Selain itu, Aziz berkata indeks dan penarafan antarabangsa juga semakin meningkat di samping pendekatan kesederhanaan dan dasar luar yang menekankan diplomasi 'secara lembut' di bawah kepimpinan Najib membuahkan hasil yang baik.

Katanya, ini terbukti dalam cara Najib menangani tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dan nahas MH17.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari pesawat itu, yang membabitkan pelbagai negara, bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, pula terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu. – Bernama, 20 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mubarak-minta-dr-mahathir-hentikan-perang-dingin-dengan-najib#sthash.awLGe70n.dpuf
0 Komentar untuk "Mubarak minta Dr Mahathir hentikan ‘perang dingin’ dengan Najib "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI