Kritikan Dr Mahathir tidak jatuhkan Najib, kata penganalisis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kritikan Dr Mahathir tidak jatuhkan Najib, kata penganalisis

Penganalisis berkata kritikan yang dilemparkan tidak akan menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima tentangan dalaman parti. Gambar fail The Malaysian Insider.
Walaupun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kritikan tajam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun presiden Umno itu tidak akan menerima tentangan dalaman parti, kata penganalisis politik.

Ini kerana mereka berpendapat tiada seorang pun pemimpin Umno yang sesuai atau sanggup menggalas tugas nombor satu negara itu.

Penganalisis juga percaya kritikan Dr Mahathir itu tidak akan memberikan kesan sebagaimana diterima pendahulu Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Usaha mendapat sokongan bagi menyingkirkan Najib kini tidak begitu kuat. Kedudukan Najib kini selamat,” kata Ibrahim Suffian.
Suffian yang juga pengarah eksekutif Merdeka Centre berkata, Dr Mahathir mempunyai pengaruh tertentu dalam Umno kerana legasinya dalam membentuk sejarah politik tanah air dan pembangunan ekonomi.

"Kritikan terbaru Dr Mahathir ini tidak akan memberi kesan besar terhadap perubahan politik tetapi lebih untuk mempengaruhi ke satu bentuk perbincangan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim berkata, bebannya kini terletak kepada Najib bagi memastikan apa yang penting untuk mengekalkan jawatannya.

Ini termasuk menjelaskan wawasan negara, dilihat sebagai juara kepada masyarakat pertengahan dan tidak membiarkan negara dirampas oleh puak berhaluan kanan atau mereka yang mempunyai kepentingan sempit.

Dalam melontarkan kritikan kepada Najib, Dr Mahathir kelmarin berkata beliau menarik semula sokongan kepada Najib selepas banyak perkara tidak diambil tindakan.

"Saya cuba memberikan pandangan saya yang juga pandangan orang ramai yang berjumpa dengan saya," kata Dr Mahathir menerusi blognya, chedet.cc.

"Saya tiada pilihan untuk menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan jadi saya perlu beri kritikan," katanya yang turut berpandangan pemerintahan Abdullah lebih baik daripada Najib.

Pemerhati politik berpandangan Najib kini perlu lebih tegas untuk memimpin agenda transformasi negara sebagai menjawab kritikan Dr Mahathir kepadanya.

Mereka berkata, perdana menteri perlu menunjukkan kepimpinan mantap dang sanggup membuat keputusan sukar bagi memandu Malaysia kembali ke landasan menuju negara maju.

Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata kritikan itu tidak boleh disanggah sepenuhnya kerana Najib perlu menunjukkan keazaman politik bagi agenda transformasinya walaupun komitmen beliau dipersoalkan.

"Najib sekarang perlu yakin dengan kepimpinannya. Beliau perlu cekal meneruskan agenda transformasi.Beliau yang patut memimpin.

"Najib perlu menunjukkan beliau berperanan memimpin dan mampu membuat keputusan sukar," katanya.

Wan Saiful percaya kritikan Dr Mahathir itu akan menarik perhatian pemimpin Umno akibat Najib sebelum ini tidak berusaha merubah pemikiran mereka dari hanya mengukuhkan hak orang Melayu.

Katanya, Najib perlu menunjukkan kepimpinan tegas pemikiran lama Umno itu tiada tempat dalam negara moden seperti di Malaysia di mana setiap orang mampu bersaing dan kaum Melayu tidak memerlukan perlindungan.

"Inilah masanya perdana menteri berubah ke dimensi baru.

"Dr Mahathir sudah lama bersara namun saranannya masih terpakai dalam kepimpinan sekarang," katanya yang melihat pentadbiran sekarang cuba lari daripada legasi Dr Mahathir dan masalah berkaitan dengannya.

Digelar sebagai bapa pemodenan Malaysia, Dr Mahathir menerajui tampok pemerintahan negara selama 22 tahun sebelum meletak jawatan pada 2003. Beliau juga sering dikritik kerana mengamalkan konsep pemerintahan yang tegas.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia Dr Jayum Jawan percaya ada asasnya komen yang dilontarkan Dr Mahathir namun ia perlu dibuat dengan cara lebih diplomatik.

Katanya, Dr Mahathir boleh memberi kritikan tetapi akhirnya adakah golongan yang disasarkan akan menerimanya.

“Mereka hanya mendengar tetapi adakah akan dilaksanakan?” katanya.

Beliau percaya kritikan Dr Mahathir tidak akan memberi kesan kepada reputasi Najib.

“Umno agak lemah sekarang. Pada peringkat ini, saya tidak pasti ahli parti itu bersedia untuk bertukar kepimpinan.

“Siapa yang akan mengambil alih? Adakah orangnya sama atau lebih baik daripada Najib? Itu keputusan yang harus dibuat Umno,” katanya.

Ketika Najib menerima kritikan hebat Dr Mahathir, menteri Kabinet berdiri teguh di belakang Najib dengan meminta presiden Umno itu diberi peluang.

Dr Mahathir semasa ditemui media pada malam Isnin berkata kritikan kepada Najib bukan bertujuan peribadi dan tidak bermaksud menggesa beliau untuk meletak jawatan.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dengan pendekatan lembut Najib yang tidak membawa faedah kepada negara.

Mengulas kenyataan itu, Wan Saiful berkata:“Sejujurnya, jawapan yang betul kepada Dr Mahathir ialah ‘terima kasih banyak, ia akan diperhalusi, perdana menteri hari ini Najib dan bukan lagi Dr Mahathir’.

“Inilah masanya untuk memberitahu Dr Mahathir, beliau sudah bersara sebelum Abdullah dan Najib,” katanya. – 20 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kritikan-dr-mahathir-tidak-jatuhkan-najib-kata-penganalisis#sthash.EDEYbCn9.dpuf
0 Komentar untuk "Kritikan Dr Mahathir tidak jatuhkan Najib, kata penganalisis"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI