Kaedah tangani gelandangan, pengemis masa terdekat - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kaedah tangani gelandangan, pengemis masa terdekat

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijangka memaklumkan kaedah menangani isu golongan gelandangan dan pengemis di ibu negara dalam masa terdekat.

Menurut seorang pegawai kementerian, menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim akan memberikan perincian itu selepas segala maklumat dan langkah-langkah menanganinya dilengkapkan, menerusi perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Kaedah-kaedah yang diambil akan mengambil kira kebajikan gelandangan," katanya kepada Bernama hari ini.

Satu mesyuarat antara Rohani bersama agensi-agensi berkaitan dan penguatkuasaan berlangsung kira-kira tiga jam di kementeriannya di sini hari ini.

Antara yang hadir ialah wakil daripada agensi di bawah KPWKM antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan modus operandi Ops Kasih yang akan diadakan kelak bagi menangani masalah itu dan mencari jalan penyelesaian bagi golongan berkenaan, kata pegawai itu.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor  dilaporkan berkata pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.

Tengku Adnan berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kaedah-tangani-gelandangan-pengemis-masa-terdekat-1.296438
0 Komentar untuk "Kaedah tangani gelandangan, pengemis masa terdekat"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI