KUALA LUMPUR - Tindakan menghalang pemberian bantuan makanan kepada golongan gelandangan di pusat bandar bukan menggambarkan kerajaan bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan, tetapi sebagai langkah membantu golongan gelandangan dan pengemis memperoleh kehidupan lebih baik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini.

Menurutnya, usaha berkenaan juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan di mana pemilihan lokasi ini juga mengambil kira aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.

“Sehingga kini, DBKL mengenal pasti 12 NGO yang aktif  beri makanan kepada golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti Pasar Seni; Dataran Kota Raya; Stesen Bas Klang, Masjid India; Masjid Negara; Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; Kota Raya; Pudu Sentral; dan Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.

“Justeru lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini akan dikenal pasti dengan menyediakan bangunan seperti konsep ‘Anjung Singgah’ yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menambah, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain serta NGO-NGO yang berkaitan secara bersepadu bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) mengatasi masalah pengemis dan gelandangan secara berkesan.

“Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan bersama dengan NGO-NGO ini pada 8 Julai depan bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya.

Tengku Adnan berkata, pihaknya serius dalam menangani isu berkenaan ekoran beberapa masalah yang timbul disebabkan kewujudan golongan ini di pusat bandar.

Ujarnya, masalah gelandangan telah menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi-lokasi tumpuan pelancong.
“Mereka tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit.

“Masalah gelandangan ini menjadi semakin rumit apabila mereka mempunyai kumpulan masing-masing yang menguasai kawasan tertentu. Masalah timbul apabila mereka berebut kawasan dan berlaku pergaduhan di antara mereka;

“Kawasan ‘Hot Spot’ masalah gelandangan di Kuala Lumpur ialah Mydin Kotaraya; Masjid Negara; Central Market; Menara Maybank; Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Jalan Tiong Nam (Chow Kit), Jalan Silang, Masjid Jamek, Bank Negara, Bulatan Sultan Mohamad dan Dataran Merdeka,”katanya.

Justeru katanya, antara pendekatan strategik yang akan dilaksanakan bagi menangani masalah gelandangan ialah Pelaksanaan Zon Sifar Gelandangan iaitu 2 KM Radius bermula daripada Simpang Empat Lot 10. Pemilihan kawasan ini adalah berasaskan kepada aspek tumpuan pelancong, kawasan perniagaan dan berada di pusat Bandar Kuala Lumpur.

“Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di kawasan ini dengan mengenakan denda dan bayar serta merta (terhadap mereka yang memberi makanan dan derma) serta melaksanakan proses ‘pungutan’ terhadap gelandangan dan pengemis yang berada di kawasan berkenaan.

“Pihak DBKL juga akan melaksanakan Perundangan di bawah PBT di mana penggubalan undang-undang kecil akan dilaksanakan yang memberi kuasa kepada pihak DBKL untuk mengangkut golongan gelandangan dan pengemis yang berada di 2 KM radius dan menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan selanjutnya seperti PDRM, Imigeresen; Jabatan Kebajikan Masyarakat; AADK dan pihak-pihak lain yang berkenaan,” katanya.

Jelas beliau lagi, keberadaan pengemis  juga tidak ada kurangnya dengan memberi imej buruk terhadap ibu kota.

Katanya, hasil siasatan oleh pihak berkuasa juga didapati terdapat sindiket yang beroperasi membawa golongan ini untuk mengemis di ibukota terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Aktiviti mengemis juga seolah-olah telah dijadikan sebagai satu kerjaya yang mendatangkan hasil yang lumayan. Malah, terdapat diantara pengemis yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa menginap di hotel-hotel berdekatan dengan tempat mereka mengemis.

Bagi tahun 2013, operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengangkut sejumlah 965 orang gelandangan dan didapati 125 orang daripada mereka adalah pendatang asing .

Antara Januari dan Mei lalu sejumlah 117 orang gelandangan telah berjaya diangkut menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dan didapati 21 orang daripada mereka pendatang asing.