TRIO adik-beradik, KRU menerusi syarikat milik mereka, KRU Studios terus melakar kejayaan yang tersendiri dengan penubuhan Kartun Studios Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat kesebelasnya.

Penubuhan dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini.

Objektif penubuhan Kartun Studios adalah untuk memperluaskan pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa khususnya penerbitan produk-produk animasi 2D dan 3D bagi kanak-kanak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, penubuhan Kartun Studios bukan saja bertujuan untuk mengkhususkan inisiatif penjenamaan bagi filem-filem serta kandungan siri animasi terbitannya tetapi adalah strategi korporat.

Selain itu, ia juga adalah untuk  persediaan awal bagi menarik pelabur di peringkat tempatan dan antarabangsa sekali gus memperkasakan kedudukan Kartun Studios di dalam tempoh tiga hingga lima tahun yang akan datang.

Dalam pada itu, filem animasi pertama terbitan Kartun Studios, Ribbit, baru-baru ini sudah memenangi anugerah Filem Keluarga Terbaik daripada Niagara Integrated Film Festival (NIFF), di Kanada baru-baru ini.

Ribbit mengisahkan seekor katak yang mempunyai kecelaruan identiti itu diilhamkan daripada Norman sendiri. Filem berkenaan diarahkan dan ditulis oleh Chuck Powers dan tampil dalam dwi bahasa.

Dalam alih suara bahasa Inggeris, filem ini menampilkan suara-suara hebat seperti Sean Astin (‘Lord of the Rings’), Tim Curry (‘The Hunt for Red October’), Russell Peters (pelawak) dan Cherami Leigh (‘Fast Food Nation’).

Manakala suara dalam alih suara bahasa Melayu, menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Datuk Aznil Hj Nawawi, Izzue Islam Johan Raja Lawak, Elfira Loy dan Awie, serta diarahkan oleh pengarah tersohor, Mamat Khalid.

Ikuti temu bual lanjut bersama Norman mengenai hala tuju penerbitan perfileman di bawah KRU Studios selepas ini.


Pertama, tahniah di atas kemenangan Ribbit baru-baru ini, boleh kongsikan dengan lebih lanjut sedikit maklumat mengenai filem berkenaan?

Terima kasih. Ribbit akan ditayangkan pada 4 September depan dengan dwi bahasa. Manakala negara-negara luar lain akan ditayangkan sekitar bulan Oktober.


Bagaimana sambutan pengedar terhadap filem Ribbit setakat ini?

Alhamdulillah, setakat ini beberapa pengedar dari negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, Jepun, China, Korea Selatan, Amerika Selatan dan negara Timur Tengah sudah pun membeli hak siaran dan filem Ribbit akan ditayangkan di negara-negara tersebut, sekitar penghujung tahun ini.


Apa keistimewaan Ribbit berbanding filem animasi sedia ada?

Tentu sekali ia adalah sebuah filem keluarga yang sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Kita tampilkan filem ini dalam bentuk pengembaraan yang ada komedi tersendiri.

Alhamdulillah dengan trofi anugerah Filem Komedi Terbaik, media antarabangsa mula memberi perhatian kepada Ribbit dan pihak kami juga berharap penjualan untuk tayangan di luar negara akan terus meningkat.


Dalam senario kutipan filem sekarang, sejauh mana keyakinan anda tentang sambutan filem ini?

Saya yakin filem ini akan mendapat sambutan kerana ia ada keistimewaan tersendiri. Saya tidak harap kutipan yang terlalu tinggi. Bagaimanapun Alhamdulillah, dengan penjualan hak tayangan, ia sudah pun dikategorikan pulang modal.

Namun dari sudut promosi bagi pasaran tempatan, kami akan mula mengadakan promosi termasuk ke sekolah-sekolah pada awal Ogos nanti. Buat masa ini, kami memberi perhatian kepada promosi filem Mat Tudung yang akan ditayangkan pada minggu Aidilfitri nanti.


Menyentuh mengenai strategi pemasaran KRU Studios yang membahagikan filem-filem di bawah tiga syarikat penerbitan berbeza, mungkin anda boleh jelaskan mengapa strategi seperti itu dibuat?

Ia merupakan sebahagian dari strategi korporat. Bagi filem-filem bergenre berat dan ada potensi untuk menjadi sekuel, kita letakkan di bawah penerbitan KRU Studios.

Manakala filem ringan yang dekat dengan jiwa penonton, kita letak di bawah Showbiz Production dan filem animasi di bawah Kartun Studios. Jadi dengan pembahagian filem-filem ini bukan bermakna kita pilih kasih sebaliknya memudahkan dalam urusan pengurusan penerbitan.


Bagaimana pula dengan pembahagian kos penerbitan dan keuntungan setakat ini?

Filem-filem di bawah KRU Studios memakan kos yang agak besar kerana melibatkan set, pelakon, kesan-kesan khas yang digunakan. Manakala bagi Kartun Studios, ia bergantung kepada sesebuah filem itu, macam Ribbit, kos keseluruhannya memakan RM10 juta.

Filem-filem Showbiz pula kita terbitkan dengan kos yang lebih murah iaitu biasanya tidak lebih dari RM2 juta kerana filem-filem Showbiz lebih ringan daripada filem di bawah terbitan KRU Studios dan Kartun Studios. Keuntungan pula bergantung pada keadaan, ada yang balik modal dan tidak kurang juga ada yang membawa keuntungan besar.


Berapa sasaran penerbitan filem yang diterbitkan dalam tempoh setahun?

Bagi Showbiz Production, kita sasarkan enam hingga lapan buah filem setahun, manakala KRU Studios kita sasar dua hingga empat filem dan Kartun Studios sebuah filem setahun. Namun apa yang penting, sasaran kita mahu filem-filem di bawah terbitan KRU tidak putus ditayangkan setiap tahun.