Ramli Motor lepasi zaman berhutang - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ramli Motor lepasi zaman berhutang

Oleh AZMAN MD. NOOR

KEMUNCULAN Wisma Ramli Motor di Pekan Baling tidak berapa lama lagi akan melengkapkan impian seorang anak kampung yang sebelum ini melalui laluan cukup getir dalam perniagaan kereta.

Bagi Ramli Man, 43, pemilik syarikat pengedar kenderaan baru dan terpakai, Ramli Motor Sdn. Bhd., bukan mudah menyelusuri jalan berliku untuk sampai ke tahap hari ini.

“Sudah empat kali tutup buka kedai semua itu pengalaman cukup berguna dalam perniagaan,” cerita Ramli yang kini menempa nama dalam perniagaan kenderaan itu.

Anak jati Kampung Bandar, Mukim Siong ini sedar betapa getirnya mahu menjadi usahawan sekalipun ada ketikanya dia terpaksa menutup perniagaan kerana ketiadaan modal.

Menurutnya, kelulusan, harta dan wang ringgit bukan modal utama sebaliknya kesungguhan dan tekad untuk merubah nasib anak Melayu kampung sepertinya.

Daripada membaiki basikal dan motosikal di tepi jalan dan bawah pokok hingga menjelajah ke serata pelosok tanah air termasuk Singapura menjadikan Ramli kini boleh berbangga selepas kegagalan demi kegagalan yang diharungi cukup mematangkannya dalam perniagaan.

Bukan sahaja membaiki motosikal dan kereta sejak 25 tahun lalu, Ramli hari ini telah menerokai bidang penjualan kereta dan motosikal secara besar-besaran sekali gus menjadikannya salah seorang daripada anak Melayu yang kini mencapai kejayaan dalam industri itu.

Pemilik syarikat ini yang melalui zaman orang berhutang menjadikan pengajaran buatnya untuk lebih pandai mengurus kewangan dengan lebih baik.

Memulakan perniagaan secara serius sejak 1981, Ramli dikenali sebagai peniaga kereta terpakai berhampiran Pekan Baling.

Kebolehan Ramli walaupun tanpa kelulusan yang tinggi berjaya meningkatkan perniagaan hingga mendapat kepercayaan syarikat kewangan.

Berkembangnya perniagaan ini menyebabkan Ramli rasa terpanggil untuk menyahut cabaran yang sering dilontarkan oleh kerajaan untuk menjadikan anak-

anak Melayu lebih berani dalam perniagaan.

Pusat penjualan keretanya di Pokok Sena Baling kini dalam proses pembesaran apabila sebuah pusat pameran yang lengkap bernilai RM1 juta sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.

“Dengan adanya ruang pameran kenderaan, saya yakin syarikat ini akan lebih berdaya saing dalam perniagaan penjualan kenderaan baru dan terpakai,” ujarnya.

Untuk mengembangkan perniagaannya, Ramli percaya bengkel membaiki kenderaannya memerlukan perubahan besar iaitu memberi perkhidmatan lengkap kepada pelanggannya termasuk sektor awam.

Bengkel servis miliknya telah mendapat kepercayaan pihak Edaran Otomobil Nasional Bhd. (EON) apabila dipilih menjadi salah satu pusat servis EON.

Kini pusat servis tersebut adalah antara pusat servis kenderaan terbesar di utara dan dianggap pusat sehenti yang lengkap.

Selepas menceburi bengkel kenderaan, Ramli berjinak pula dengan insurans walaupun dia sedar industri ini begitu mencabar dan perlu bersaing. Namun itu tidak sedikit pun mematahkan hasratnya apabila mula mendapat kepercayaan 22 buah syarikat insurans.

Selain itu Ramli Motor turut menjadi pembekal alat-alat ganti kenderaan.

Kini Ramli Motor menjadi majikan kepada lebih 60 anak tempatan pelbagai bangsa dengan berkhidmat dengan syarikat bumiputera ini.

Menurut Ramli, dia tetap berpegang kepada prinsip bahawa orang akan tetap mempercayai kebolehan, jika kita bersungguh-sungguh melakukan dengan cara terbaik.

Namun segala pengalaman yang dilalui oleh bapa kepada enam anak ini cukup mematangkannya kerana dia sering mengamalkan prinsip berjimat semasa ada dan diterapkan kepada semua pekerjanya.

Di sebalik kejayaan yang ditempanya itu Ramli berkata, dalam perniagaan kita tidak boleh ambil mudah walaupun kita sudah berada di tahap selesa.

Walaupun bergelar ahli perniagaan, Ramli tidak segan silu untuk turut sama mencurahkan pengalamannya kepada setiap pekerjanya.

“Saya masih sedar dan insaf, daripada kerja yang kotor inilah telah menyebabkan saya berjaya ke tahap hari ini,” ujarnya.

Di sebalik kejayaan setakat ini, beliau menaruh harapan yang cukup tinggi perniagaannya kelak akan diambil alih oleh beberapa anaknya yang turut diberi kepercayaan membantunya setiap hari.

0 Komentar untuk "Ramli Motor lepasi zaman berhutang"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI