SHAH ALAM - Kerajaan boleh meraikan hak bersuara asalkan kebebasan yang hendak diberikan tidak menyalahi undang-undang dan tidak melanggar hak majoriti rakyat.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebebasan yang diberikan atau hendak disediakan kerajaan mestilah dilakukan berasaskan undang-undang kerana jika tidak, ia boleh mewujudkan sesuatu yang tidak baik dalam masyarakat.

"Apabila kita bercakap soal hak atau kebebasan, ia perlu dilihat daripada semua aspek. Dalam kita memikirkan hak sendiri, kita juga kena fikir hak orang lain kerana berkemungkinan ada yang tidak suka dengan apa yang hendak kita perkatakan.

"Contohnya, kerajaan membenarkan perhimpunan dilakukan bagi memberi ruang atau hak berhimpun, tetapi pada masa yang sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjaga rakyat yang tidak suka berhimpun kerana mahukan ketenangan, tak mahu perniagaan terganggu dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kerajaan tidak boleh menjaga satu pihak sahaja kerana ia akan menunjukkan kerajaan tidak adil.

"Suara ramai mesti diutamakan dalam banyak keadaan dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan mesti menjaga kepentingan dan keperluan semua pihak," katanya.
Shamsul Anuar berkata, kebebasan bersuara itu juga perlu ada had atau batasnya.

Beliau berkata, sebagai contoh, di Parlimen, ahli parlimen mempunyai imuniti tetapi mereka tidak boleh menyentuh perkara-perkara tertentu seperti berkaitan raja, agama atau isu yang sedang dibicarakan di mahkamah serta beberapa perkara lain.

Menurutnya, itu bukan bermakna demokrasi mati atau mereka tidak meraikan kebebasan bersuara.

Katanya, begitu juga dalam isu hak kebebasan berbincang termasuklah perbincangan yang berbentuk akademik atau ilmiah kerana perbincangan seperti itu pun jika dibenarkan tanpa dipandu undang-undang boleh merosakkan masyarakat dan negara.

"Misalnya, atas nama perbincangan ilmiah atau akademik, adakah kita boleh benarkan perbincangan mengenai perkara sensitif berkaitan agama Islam, raja-raja, hak bumiputera atau isu lain yang sememangnya mempunyai batas jika hendak dibincangkan.

"Selain itu, banyak juga NGO  atau pihak tertentu diberikan hak bersuara, buktinya boleh dilihat bagaimana rakyat atau sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan melalui media sosial," katanya.

Semalam, Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara yang pernah menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) dan kini menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seharusnya lebih terbuka dalam soal kebebasan bersuara.

Beliau berkata, seharusnya tiada sekatan dikenakan untuk menjadi sebuah negara yang maju, malah kerajaan perlu meraikan kepelbagaian pendapat dan tidak menghalang mana-mana wacana berbentuk keilmuan.