ALOR SETAR - Tahfiz Model Ulul Albab yang dilancarkan hari ini diharap dapat melahirkan rakyat yang dapat mengembalikan kehebatan para ilmuan Islam yang mampu menyumbang kepada kehebatan tamadun manusia.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tahfiz itu mampu melahirkan modal insan profesional yang bukan sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran serta membina kehidupan berlandaskan al-Quran dan sunah tetapi juga berfikiran kreatif dan inovatif.

Beliau berkata pelaksanaan Tahfiz Ulul Albab di sekolah menengah Kementerian Pendidikan menggabungkan pakej kokurikulum bersepadu tahfiz dengan model ulul albab yang telah dilaksanakan di beberapa buah Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Imtiaz.

"Pemilihan murid berdasarkan kepada syarat sedia ada untuk kemasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Bagi murid yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian Tahfiz Model Ulul Albab di tingkatan satu, Kementerian Pendidikan akan tawarkan kemasukan di tingkatan empat dengan kelayakan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Mereka juga perlu menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran," katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Tahfiz Model Ulul Albab Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia di SMK Agama Kedah di sini.

Khair berkata bermula Januari tahun ini tiga buah Tahfiz Model Ulul Albab dilaksanakan iaitu di SMA Persekutuan Bentong di Pahang, SMK Agama Kedah dan SMK Agama Kuala Lumpur.

Katanya sebanyak 15 Tahfiz Ulul Albab akan dilaksanakan menjelang 2017 dan ia menjadi satu sejarah dalan sistem pendidikan negara.

Pelaksanaan tahfiz tersebut bersesuaian dengan semangat dalam gelombang satu Pelan Pebangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ini bertujuan menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai Islam yang kukuh.

Pelancaran Tahfiz Model Ulul Albab Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Bernama