ALOR SETAR - Model pendidikan Islam, Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang diperkenalkan di peringkat sekolah menengah diharap dapat diperluaskan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha melahirkan golongan profesional al-hafiz.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha  berterusan ini bertujuan melahirkan profesional al-hafiz agar Malaysia menjadi contoh untuk negara-negara Islam di peringkat global.

Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia, katanya ketika melancarkan TMUA Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Mergong, di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata pelaksanaan TMUA di peringkat IPT dapat memastikan kesinambungan generasi ulul albab tidak berakhir di peringkat sekolah menengah sahaja.  

TMUA merupakan gabungan antara kurikulum kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan program Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik.

Model tersebut bagi menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi dan melengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja.

Ia dilaksanakan di empat buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 11 SMKA yang terpilih seluruh negara, dengan tahun ini ia dimulakan di SMKA Kedah, SMKA Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong di Pahang.

Muhyiddin berkata kemasukan ke 11 buah SMKA, yang melaksanakan model pendidikan ini, dibuka juga kepada murid-murid daripada sekolah di bawah kerajaan negeri dan swasta.

Katanya beliau yakin konsep TMUA ini akan dapat melahirkan cendekiawan, atau ilmuan yang mantap dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi serta mantap pula keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH.

"Semoga generasi yang lahir daripada model pembelajaran ini akan menjadi generasi Ulul Albab yang bergelar jurutera al-hafiz, doktor al-hafiz dan profesional al-hafiz," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan bantuan berjumlah RM3.37 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kedah.

Daerah  Baling/Sik menerima RM575,000, Kota Setar (RM585,000), Kuala Muda Yan (RM670,500), Kubang Pasu (RM45,500),  Kulim/Bandar Baharu (RM497,500), Langkawi (RM50,000), Padang Terap (RM260,000) dan Pendang sebanyak RM277,500.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh. - Bernama