Hari Ketiga Prosiding, Di Mana Penyokong Anwar, Saiful? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hari Ketiga Prosiding, Di Mana Penyokong Anwar, Saiful?




PUTRAJAYA: Suasana di luar Istana Kehakiman di sini, Khamis, lengang tanpa kehadiran penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak seperti hari pertama dan kedua prosiding yang menyaksikan hampir 1,000 penyokong ketua pembangkang itu berhimpun, kawasan luar bangunan Mahkamah Persekutuan pada hari ketiga prosiding hanya dipenuhi pihak media yang hadir sejak pukul 7 pagi.

Sehingga pukul 11 pagi, kehadiran penyokong Anwar bolehlah dikatakan sebagai hanya 'beberapa kerat' sahaja dan ia adalah sesuatu yang mengejutkan.

Malah, Anwar yang sebelum ini sering muncul di luar mahkamah untuk bertemu penyokongnya sebelum proses pendengaran rayuannya bermula, tidak langsung dilihat kelibatnya pada pagi Khamis.

Bagaimanapun difahamkan bahawa ahli politik itu telah memasuki kamar mahkamah pada pukul 9.10 pagi.

Tidak sekadar 'tandus' penyokong, perkarangan Istana Kehakiman juga ketandusan pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.

Yang dapat dilihat hanyalah sasterawan negara Datuk A.Samad Said yang memasuki bangunan mahkamah pada pukul 10.30 pagi dan sekumpulan kecil penyokong yang membaca surah Yasin memohon keputusan memihak kepada Anwar.

Keadaan yang sama berlaku di sebelah kiri mahkamah tempat di mana penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan berhimpun sejak dua hari lepas.

Hanya segelintir sahaja penyokongnya dilihat berlegar-legar di kawasan tersebut.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
0 Komentar untuk "Hari Ketiga Prosiding, Di Mana Penyokong Anwar, Saiful?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI