UM milik persendirian, tidak boleh ceroboh, kata Muhyidin - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

UM milik persendirian, tidak boleh ceroboh, kata Muhyidin

Suasana tegang di pintu masuk Universiti Malaya sejurus sebelum pelajar memaksa ia dibuka bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam Isnin lalu. – Gambar The Malaysian Insider, 30 Oktober, 2014.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar tindakan merempuh halangan di pintu masuk Universiti Malaya Isnin lepas, dan berkata kawasan universiti adalah milik persendirian yang tidak boleh diceroboh.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata tindakan sedang diambil pihak universiti terhadap pencerobohnya.

"Kawasan universiti adalah kawasan persendirian, jadi sesiapa masuk tanpa kebenaran itu satu kesalahan.

"Tambahan kalau melakukan kesalahan yang saya lihat dalam gambar di media yang berbentuk keganasan," kata Muhyiddin, mengulas tindakan pelajar UM dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pidato di Dataran Dewan Tunku Canselor di UM.
Anwar dihalang daripada menghadiri program anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) itu, dan pentadbiran UM juga mengharamkannya.

Bagaimanapun, Anwar bersama mahasiswa dan penyokongnya tidak mengendahkan larangan tersebut dan bertindak merempuh pintu pagar utama universiti.

Mengenai tindakan pihak universiti, Muhyiddin (gambar, kiri) yang juga timbalan perdana menteri berkata UM sudah memaklumkan kepadanya dan tindakan bakal diambil.

"Saya dapat maklum bahawa perkara itu sedang diperhalusi pentadbiran universiti, timbalan canselor dan naib timbalan canselor, serta hal ehwal pelajar.

"Jika mereka ternyata terbukti pelanggaran, baik daripada segi peraturan universiti di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), atau berkaitan dengan soal undang-undang lain daripada segi kanun jenayah atau undang-undang keselamatan, maka terserah kepada pihak universiti untuk mengambil tindakan yang sesuai," katanya.

Muhyiddin juga menafikan Putrajaya campur tangan dalam hal pentadbiran UM seperti didakwa semasa kontroversi program pidato tersebut.

"Ini adalah urusan universiti, pihak kementerian tidak pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti.

"Baik dari segi kegiatannya atau dari segi proses pembelajaran, pendidikan, pengajian dan sebagainya atau urusan yang lain, termasuk yang berlaku di UM baru-baru ini," katanya.

Anwar pada awalnya dijadualkan memberi pidato bertajuk "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara".

Bagaimanapun, pihak UM enggan membenarkannya dan mengetatkan kawalan di pintu masuk kampus bagi menghalang orang luar.

Malah, pentadbiran UM juga membenarkan kakitangan mereka pulang awal dengan menjadikan gangguan elektrik sebagai alasan.

Walaupun pelbagai halangan dan sekatan dibuat, peserta program merempuh masuk ke dalam UM menyebabkan pagar utama universiti tersebut rosak.

Pihak UM sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu dan perhimpunan "haram" di kampusnya tersebut. – 30 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/um-milik-persendirian-tidak-boleh-ceroboh-kata-muhyidin#sthash.Foh9P4tl.dpuf
0 Komentar untuk "UM milik persendirian, tidak boleh ceroboh, kata Muhyidin "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI