SETIAP kali tibanya Lebaran, pastinya ramai yang teruja untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Tidak hanya meneruskan budaya kunjung mengunjungi, ada antara keluarga yang mengambil kesempatan untuk keluar bersama kaum keluarga.

Dan saban tahun juga, industri seni tidak pernah sunyi dengan tayangan dua buah filem pada hari raya yang pertama.

Kali ini giliran filem Tembus, terbitan Excellent Pictures dan Mat Tudung terbitan Showbiz Productions yang juga salah sebuah syarikat di bawah KRU Studios bakal menemui penoton pada 28 Julai ini bersama dengan hari raya pertama.

Filem Tembus membariskan barisan pelakon terkenal seperti Aaron Aziz, Khir Rahman, Luna Maya, Fazura, Mia Sara Nasuha dan ramai lagi,

Dengan kos RM 1.5 juta, filem ini mendapat sentuhan dari pengarah yang tidak asing lagi, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Manakala skrip pula dihasilkan oleh penulis skrip yang cukup dikenali iaitu Siti Jasmina.

Manakala Mat Tudung diarahkan oleh pengarah muda, Waan Hafiz (yang sebelum ini mengarah filem “Hantu Tok Mudim”) menggandingkan Fizz Fairuz, Nelydia Senrose dan Izzue Islam sebagai pelakon utama.

Mat Tudung ialah sebuah filem komedi ringan yang menghiburkan. Tidak hanya mempertaruhkan pelakon muda, filem ini juga turut dijayakan oleh Harun Salim Bachik, Rosnah Mat Aris dan ramai lagi akan dapat memantapkan filem ini dan menghiburkan para penonton.

Sama seperti Tembus, Mat Tudung juga dihasilkan dengan kos sebanyak RM1.5juta termasuk kos promosi.


Idham: Angkat isu penculikan

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai filem Tembus, Idham berkata, filem terbarunya itu berbeza dengan filem-filem yang pernah di arahkannya sebelum ini.

"Pertama filem ini lari dari genre filem yang pernah saya buat sebelum ini. Kedua, jika sebelum ini filem saya lebih menumpu sasar kepada golongan remaja, kali ini saya tumpukan kepada usia pertengahan.

"Antara sebab lain saya beralih kepada filem bergenre seperti ini adalah kerana filem saya sebelum ini tidak lagi mendapat sambutan.

"Kebetulan ketika saya memikirkan mengenai filem ini, negara dilanda isu penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Dari situ timbul idea untuk menerbitkan filem ini tetapi ada 'twist' yang saya masukkan dalam filem ini," ujarnya yang ditemui pada majlis tayangan filem Tembus di Cathay Cineleisure, e@Curve.

Tembus adalah sebuah filem kekeluargaan yang penuh dengan konflik mengenai pasangan suami isteri Hari (Aaron Aziz) dan Izza (Fazura) apabila anak mereka Zara (Mia Sara) telah diculik, dan penculikan misteri itu yang membongkar segala konflik dalaman yang selama ini dipendam baik Hari, Izza dan juga dari orang sekeliling yang rapat dengan mereka.


Zarina: Komedi ringan berserta mesej

Sementara itu, Penerbit Showbiz Productions, Zarina Abd Rahman berkata, filem Mat Tudung adalah sebuah filem komedi ringan.

"Filem ini sesuai ditonton seisi keluarga kerana mempunyai nilai positif yang memberi pengajaran tentang kekeluargaan," katanya.

Mat Tudung mengisahkan seorang kasanova bernama Johari yang juga seorang bekas Mat Rempit telah jatuh cinta pandang pertama pada Zizie. Zizie bukanlah seperti gadis biasa yang mudah untuk didampinginya tapi seorang gadis berhijab yang terkenal dengan sifatnya yang dingin terhadap lelaki.

Johari terpaksa mencari apa saja helah untuk mendekati Zizie. Cara yang difikirkannya paling berkesan ialah dengan menyamar sebagai gadis bertudung iaitu Johanna sebagai ‘adik perempuan’ kepada Johari.

Menggunakan pengaruh Johanna, Zizie mula terbuka untuk mengenali Johari dan pada masa yang sama Johari juga berjaya menyelami hati Zizie melalui keintiman Johanna dan Zizie.

Tapi siapa sangka, Johari atau Johanna turut digilai seluruh ahli keluarga Zizie yang gila-gila termasuk bapa Zizie yang sukakan Johanna yang kelihatan ayu dengan tudungnya.

Sebagai dirinya sebenar Johari, dia turut menarik perhatian ibu Zizie yang kesepian dan abang Zizie yang confuse. Mampukah Johari menepis semua godaan ini dan dapatkan Zizie?