KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan mendedahkan kepada umum enam projek konsesi pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diberikan secara rundingan terus.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini untuk mengelakkan tanggapan negatif masyarakat bahawa kerajaan mengamalkan unsur kronisme dan salah guna kuasa dalam pemberian projek-projeknya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini ketika menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan yang mahukan pendedahan umum itu dibuat. 

Nur Jazlan berkata walaupun penjelasan mengenai projek berkenaan telah diberikan, ia masih tidak menjawab pelbagai soalan terutamanya tentang sebab projek itu diberikan secara rundingan terus.

"Walaupun projek itu dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), ia masih boleh dilakukan secara tender terbuka bagi membolehkan kerajaan melihat keupayaan syarikat yang akan melaksanakannya secara keseluruhan terutamanya dari aspek kewangan dan pengalaman," katanya.

Selain itu, Nur Jazlan juga mahu kerajaan berhati-hati dengan pelaksanaan projek menggunakan kaedah PFI kerana telah beberapa kali kerajaan terpaksa menjadi penyelamat apabila syarikat swasta yang diberi tanggungjawab gagal melaksanakannya.

"Contoh terbaik ialah projek Mass Rapid Transit yang bernilai kira-kira RM40 bilion yang pada mulanya dilaksanakan secara PFI tetapi terpaksa diambil alih oleh kerajaan dengan menubuhkan MRT Corp," katanya. - Bernama