Jangan sangsi kemesraan Abdul Khalid, Najib - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jangan sangsi kemesraan Abdul Khalid, Najib

SHAH ALAM -  Kemesraan dan hubungan positif antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu dilihat dari lensa politik semata.

Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pertemuan antara Perdana Menteri dan menteri besar perkara biasa dan ia bukan isu besar.

“Beliau Menteri Besar Selangor, takkan tidak boleh jumpa Perdana Menteri. Takkan semua benda kita nak tengok daripada lensa parti, kalau Majlis Raja-Raja pun, Perdana Menteri hadir bersama Agung dan menteri besar hadir bersama Sultan.

“Dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim pun pernah minum teh tarik dengan Najib, jadi saya tidak nampak apa-apa isu yang besar. Saya pun baik dengan kawan-kawan Umno juga,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Annexe, semalam.

Nik Nazmi turut meminta supaya mana-mana pihak yang cuba berpandangan serong dengan beranggapan Abdul Khalid sebagai mesra Umno supaya menghentikan perbuatan tersebut.

“Bagi saya itu bukan perkara luar biasa jika ketua kerajaan negeri berjumpa dengan ketua kerajaan pusat. Diharapkan semua pihak bertenang,” katanya.

Abdul Khalid semalam membuat kejutan dengan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor anjuran Pejabat Pembangunan Persekutuan Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong di Shah Alam, kelmarin.

Abdul Khalid yang berdepan dengan asakan PR untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dilihat menerima suntikan moral daripada perdana menteri yang mengakui boleh bekerjasama dengan beliau walaupun berbeza fahaman politik.

Najib berkata, walaupun ada perbezaan, mereka boleh bekerjasama dalam banyak hal.
Malahan Najib turut berterima kasih dengan kehadiran Abdul Khalid dan bagi beliau sebagai ia suatu petanda baik.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi menafikan pihaknya menerima sebarang permohonan berhubung usul tidak percaya bagi menggugurkan Abdul Khalid.

“Jadi bagi saya itu bukan perkara yang baru timbul mengenai undang-undang undi tidak percaya ini. Kita ada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan juga Undang-undang Persekutuan dan ia bukan satu isu besar,” katanya.

Sebelum ini Abdul Khalid menyatakan beliau tidak kisah jika dakwaan kononnya akan wujud usul undi tidak percaya terhadapnya oleh Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC).
http://www.sinarharian.com.my/politik/jangan-sangsi-kemesraan-abdul-khalid-najib-1.298891
0 Komentar untuk "Jangan sangsi kemesraan Abdul Khalid, Najib"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI