PENYANYI, DJ Dave yang merupakan salah seorang sahabat karib Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mengakui sempat merasai masakan Allahyarham tiga minggu lepas.

Tidak bersendiri, DJ Dave hadir bersama Khadijah, Mas Omar serta Zur Eda atas permintaan Allahyarham sendiri.

Menurut DJ Dave, Allahyarham memaklumkan, beliau tidak sihat namun sempat memasak dan menjamu mereka.

"Kami semua memberikan kata-kata semangat kepadanya," katanya sambil menambah beliau tidak menyangka Sharifah Aini akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Beliau berkata sebagai rakan seperjuangan, Allahyarham terkenal sebagai seorang yang komited dalam kerjaya dan tidak pernah berputus asa.

DJ Dave, yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM3,000 kepada keluarga Allahyarham. 

Jenazah Allahyarham yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail pukul 11.30 pagi sebelum disemadikan pada kira-kira 12.30 tengah hari.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pukul 1.26 pagi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa lepas kerana kesukaran bernafas.

Sementara itu, bagi Mas Omar, antara sifat terpuji Sharifah Aini ialah suka membantu mereka yang dalam kesusahan dan orang kurang upaya.

Beliau bersyukur kerana dapat menemukan Allahyarham dengan rakan seperjuangan seperti Fauziah Latif, Nassier Wahab, Herman Tino dan Nash baru-baru ini apabila Allahyarham melahirkan keinginan untuk bertemu mereka.

"Saya memenuhi permintaannya itu dan Allahyarham kelihatan sangat gembira... Arwah banyak berbual dengan mereka bila mereka dipertemukan," katanya.

Sementara itu, peminat setia Sharifah Aini iaitu Rasyidah Abdullah, 60-an, pernah menerima bantuan kewangan daripada Allahyarham untuk membeli makanan.

"Arwah pernah memberi wang agar saya dapat menikmati makanan, arwah pernah memberi saya wang RM100 dan RM200, saya tidak akan lupa jasa baik arwah," katanya. – Bernama